https://critoxium.com/shop/

Terkini

Persaraan presiden PSM akhiri era sosialisme negara

Oleh Zin Mahmud

Persaraan Nasir Hashim selaku pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidaklah memberi kesan ketara pada parti itu, gerakan sosialisme negara apatah lagi pentas politik tanah air. PSM adalah parti teramat kecil yang tidak memberi sebarang impak pada percaturan di pentas politik negara.
Sementara Nasir bukanlah ahli politik popular seperti mana banyak tokoh lain yang namanya menjadi sebutan rakyat.

Namun PSM mempunyai peranannya tersendiri dan sedikit sebanyak menyumbang pada gerakan pembangkang dalam menentang Barisan Nasional dahulu. Kini ia berperanan menjadi suara ke-3 dalam politik negara, lebih-lebih lagi apabila PAS bekerjasama dengan Umno.

Sementara Nasir pula mempunyai sumbangannya tersendiri bermula sebagai aktivis Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) dan menjadi “penjaga obor” sosialisme dengan Michael Jeyakumar Devaraj menubuhkan PSM.
Walaupun sosialisme bukanlah fahaman popular di negara ini, dan dijangka tidak akan memberi impak besar ke atas Malaysia, namun pendokongnya ternyata sentiasa ada walaupun bertukar generasi.

Fahaman sosialisme dipercaya mula bertapak di negara ini pada sekitar 1920-an dengan menarik minat sebilangan pelajar yang idealis dan kuat membaca buku. Walaupun golongan sosialis tidak pernah memegang kuasa dengan cara politik kepartian, tetapi pengaruh idea, idealisme dan ideologi itu dalam bentuk polisi sosial menyumbangkan kepada pembinaan negara ini.

Daripada polisi kerajaan Tunku Abdul Rahman sebaik saja Malaya mencapai kemerdekaan, hinggalah kepada Razak Hussein dan juga masa pentadbiran awal Dr Mahathir Mohamad, ia sentiasa diwarnai oleh pemikiran sosialis baik sebagai hasil dari input golongan kiri mahupun sebagai reaksi terhadap kritikan daripada mereka.

Persaraan politik Nasir bermula pada hujung minggu lalu apabila Kongres Tahunan PSM di Kajang, Selangor menyempurnakan proses peralihan kepimpinan yang memakan masa 5 tahun. Tiada perebutan jawatan dalam PSM. Bukan saja ia mencerminkan etika sosialis tetapi juga parti kecil yang tinggi tahap kesukarelawanan itu tentu kurang menarik bagi kebanyakan aktivis arus perdana.

Jawatan tertinggi parti itu kini dipegang oleh Jeyakumar, seorang tokoh yang terkenal dengan komitmen dan disiplinnya sekurang-kurangnya dalam kalangan peminat sosialisme di negara ini.

Peminat sosialisme tidak banyak di negara ini, untuk itu seseorang perlu faham mengenainya. Untuk memahaminya pula perlu pembacaan dan pemikiran. Maka tidak hairanlah penyokong sosialisme adalah terdiri daripada intelektual dan kaki membaca buku.

Tetapi bagi mereka yang komited terhadap fahaman itu, pendokong sosialisme sanggup menjadi aktivis yang mempunyai daya disiplin dan pengorbanan tinggi. Itulah penangan sesuatu ideologi beraliran kiri. Apa yang dimaksudkan dengan kiri ialah pendekatan politik yang mengutamakan kepentingan semua rakyat tanpa mengira perbezaan kelas, kaum dan anutan agama.

Seperti kebanyakan peminat sosialis, Nasir dipercayai tertarik dengan ideologi sejak beliau menjadi mahasiswa, iaitu sekitar 1970-an di mana masa itu dunia menyaksikan pertembungan ideologi sengit dalam Perang Dingin dan juga antara fahaman komunisme dan sosialisme demokratik.

Semasa menjadi ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga berjawatan profesor madya sekitar 1980-an, beliau yang ketika itu ahli PSRM muncul sebagai intelektual sosialis negara. Nasir mengetuai Institut Analisa Sosial (Insan) yang menerbitkan majalah Nadi Insan.

Penulis mula mengetahui beliau melalui majalah itu pada 1980 yang dijual di kedai buku universiti. Nadi Insan menyiarkan rencana dan wawancara yang beraliran sosialisme.

Sekitar awal 1980-an, sosialisme tidak menarik pada anak-anak muda negara kerana pada masa itu, mereka lebih berminat pada fahaman politik Islamisme, ditambah pula dengan keterpesonaan terhadap Revolusi Iran.

PSRM yang merupakan parti utama sosialis negara menjadi kecil dan dianggotai oleh orang lama dan segolongan elit intelektual. Parti itu bukan saja gagal memenangi kerusi pada setiap pilihan raya umum, malah tokoh utamanya juga merupakan intelektual Melayu utama, Kassim Ahmad keluar parti untuk menyertai Umno.

Di luar PSRM, ada golongan kiri yang menubuhkan Parti Pekerja-pekerja Malaysia (WPM) untuk menggantikan Parti Buruh Malaya yang dibubarkan. Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) juga dianggap sebagai parti kiri.

Tetapi banyak pendokong sosialis mengambil jalan tidak berparti. Mereka aktif dalam masyarakat sivil atau berlegar dengan penerbit buku kiri. Jeyakumar aktif dalam membela pekerja estet.
Pada 1987, Nasir turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang selama 15 bulan. Ini mengesahkan beliau turut dianggap sebagai seorang intelektual sosialis negara.

Nasir terus menjadi ahli PSRM sehinggalah Syed Husin Ali menerajui parti itu pada 1989 dan menggerakkan perubahan terhadap parti itu. Pada mulanya PSRM menukar nama dari Parti Sosialis Rakyat Malaya kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia bagi mencerminkan realiti politik.

Kemudian, dicadangkan supaya PSRM meminda perlembagaan termasuk menggugurkan nama dan fahaman sosialisme. Maka ia menjadi Parti Rakyat Malaysia (PRM). Lidah rasminya ditukar dari Mimbar Sosialis kepada Suara Rakyat.

Apa yang dilakukan oleh Syed Husin hanyalah menuruti perkembangan semasa global. Soviet Union dan komunisme sedang tumbang. Sosialisme dan gerakan sudah amat tidak popular dan mereka kalah di merata-rata tempat. Maka banyak parti kiri di seluruh dunia menggugurkan perkataan komunis dan sosialis pada nama mereka.

Tetapi Nasir membantah. Beliau keluar dari PRM dan pada 1998 menubuhkan PSM dengan penggabungan bersama aktivis dari NGO pimpinan Jeyakumar. Adalah difahamkan pada mulanya mereka berhasrat untuk mengambil alih Parti Pekerja-pekerja Malaysia untuk memperjuangkan sosialisme. Tetapi usaha itu gagal.

Namun apabila ia cuba menubuhkan PSM, ia gagal didaftarkan kerana dianggap parti itu mengancam keselamatan negara. Tetapi Nasir serta rakan-rakannya terus berjuang di mahkamah. Selain itu mereka terus aktif di akar umbi dengan memfokus pada kawasan tertentu.

Dalam pilihan raya 2008, mereka menyertai pilihan raya umum di bawah lambang Parti Keadilan Rakyat, parti yang menggabungkan Parti Keadilan Nasional dan PRM. Dalam PRU itu, PKR bekerjasama dengan PAS dan DAP.

Nasir menang di kawasan DUN Kota Damansara Selangor. Kemenangan beliau adalah atas sokongan pengundi PKR. PAS dan DAP. Selepas PRU itu, barulah PSM dapat didaftarkan.

Tetapi apabila Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP ditubuhkan. PSM hanya dapat menjadi penyokong Pakatan Rakyat dan bukannya menjadi anggota.

Dalam PRU 2013, Nasir yang bertanding sebagai wakil Pakatan Rakyat dengan lambang PKR gagal mempertahankannya kerana PAS yang juga dalam pakatan itu turut meletakkan calon. Penyokong PAS tidak mengundi Pakatan Rakyat yang mengakibatkan kemenangan BN.

Dalam PRU14, PSM bertanding bersendirian apabila tuntutannya untuk bilangan kerusi tertentu ditolak oleh PH. Dengan keinginan menjadi kuasa ke-3 untuk mengaut undi yang menolak BN dan PH, ternyata mereka gagal, dan hilang wang deposit.

PSM akan terus mencari tempat dalam politik negara selepas era Nasir ini. Generasi baru akan muncul. Sementara beliau akan pastinya terus aktif sebagai sosialis sepanjang hayat seperti mana banyak orang yang sefahaman dengan beliau di seluruh dunia, sepanjang sejarah.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.