Rakyat mangsa manipulasi ekonomi
Oleh
Kestabilan ekonomi merupakan elemen
terpenting bagi sesebuah kerajaan dan negara. Kerajaan yang stabil
merupakan kerajaan yang merajai ekonomi dan merakyat ke seluruh negara.
Oleh sebab itu agenda memperkasakan ekonomi negara selayaknya menjadi
keutamaan kerajaan hari ini.
Risiko kepada ketidakstabilan ekonomi telah
berlaku sejak Mei 2018 apabila kerajaan mengorkestra dan memanipulasikan
fakta ekonomi kononnya hutang negara berjumlah RM1 trilion dan Dana
Tabung Harapan Malaysia (THM) dilancarkan untuk membayar hutang
1Malaysia Development Berhad (1MDB). Walaupun sudah melebihi 400 hari
menjadi kerajaan, keadaan ekonomi negara masih berada dalam kesamaran.
Rakyat memerhati dan menilai apakah kerajaan
hari ini `cakap tak serupa bikin’ atau sebaliknya.
Slogan ‘Selamatkan
Malaysia’ yang dilaungkan selama ini semakin pudar sinarnya. Kehidupan
rakyat khususnya B40 semakin terhimpit, subsidi dan bantuan kewangan
kepada petani dan nelayan dipotong. Ribuan pekerja kontrak
diberhentikan, saiz kakitangan awam ingin dikurangkan dan kadar
pengangguran golongan muda pada kadar 10.8 peratus, lebih tinggi
berbanding Thailand (5.9 peratus) dan Vietnam (7.9 peratus).
Ranking terkini yang diterbitkan oleh badan
analisis indeks Islamicity Foundation menunjukkan bahawa negara kita
telah jatuh merudum bagi empat indeks berbeza. Keempat-empat indeks
tersebut ialah Indeks Economy, Indeks Political Rights, Indeks
International Relations serta kedudukan keseluruhan kita dalam Islamic
Index berbanding 152 negara lain di dunia. Berbanding tahun 2017, indeks
ekonomi kita jatuh sebanyak tujuh anak tangga iaitu dari tangga ke-24
(2017) ke tangga ke-31.
Bloomberg melaporkan prestasi pasaran saham
Malaysia tahun ini antara terburuk di dunia dengan modal pasaran Bursa
Malaysia susut RM157 bilion sejak PRU-14 manakala penanda aras pasaran
FBM KLCI ditutup pada 1,629 mata berbanding 1,846 mata sebelum 9 Mei
2018.
Paling membimbangkan pengumuman kerajaan
untuk menjual aset-aset penting negara bagi mengurangkan hutang negara.
Menurut pensyarah Sains Politik UKM, Abdul Muein Abadi “Risiko dan
masalah yang bakal dihadapi oleh kerajaan contohnya perangkap geopolitik
jika bertindak menjual aset negara dengan terlalu banyak dalam masa
yang terlalu cepat, perangkap kuasa lunak (soft power) dan kuasa
penembusan asing (sharp power)”.
Apakah yang rakyat dapat daripada penjualan
aset-aset strategi tersebut khususnya aset yang berkaitan dengan orang
Melayu dan Bumiputera? Rancangan kerajaan hendak menjual aset Khazanah
Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) adalah
tindakan yang menodai kepentingan dan amanah bagi menjaga kepentingan
orang Melayu dan Bumiputera. Aset tersebut yang dikenali sebagai trust
agencies atau agensi amanah ialah hasil daripada manfaat ekonomi yang
dilakukan semasa pemerintahan kerajaan BN untuk meningkatkan ekonomi
negara dan rakyat.
Lakaran sejarah memperlihatkan Nabi Yusuf a.s
yang membawa misi islahi menyelamatkan ekonomi Mesir adalah ikon dan
watak yang perlu diteladani. Watak penting yang dimiliki oleh Nabi Yusuf
a.s dalam menguruskan kemelut ekonomi Mesir ialah HAFIZ dan ALIM
(Kejujuran dalam melaksanakan amanah dan berpengetahuan serta
berkemahiran berkaitan pengurusan ekonomi).
Pendekatan yang ditekankan oleh Nabi Yusuf
a.s dengan gesaan “apabila datang musim menuai, jangan semua hasil yang
dituai untuk dijadikan makanan, sebaliknya perlu ada yang disimpan untuk
digunakan pada jangka masa panjang, selain untuk dijadikan benih”.
Membelanja, menyimpan serta melabur menjadi pendekatan Nabi Yusuf a.s
bagi memperkukuhkan ekonomi Mesir bukannya dengan cara menjual aset
negara.
Memahami denyut nadi golongan muda berhadapan
dengan kesukaran dan kemelut kewangan, UMNO akan memperkenalkan dan
menjadikan kesukarelawan ekonomi sebagai model people economy, yang
berorientasikan rakyat dan orang muda bagi menambah pendapatan. Landskap
kesukarelawan bukan sahaja berbentuk kebajikan dan aktiviti semata-mata
tetapi mampu menjadi sumber pendapatan.
Jangan jadikan rakyat sebagai mangsa akibat
keghairahan memanipulasikan fakta ekonomi. Ambil peduli amaran
Rasulullah SAW yang bermaksud “Jika sesuatu urusan diserahkan kepada
bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran”.
(HR Bukhari)
AHMAD ZAHID HAMIDI
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.