https://critoxium.com/shop/

Terkini

Saya tidak kemaruk hendak jadi PM, kata Anwar

Oleh

ANWAR Ibrahim berkata beliau tidak kemaruk hendak jadi perdana menteri, seperti dituduh oleh beberapa pihak, sementara peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepadanya bukan satu perkara yang perlu dimasalahkan.

Presiden PKR itu berkata kedudukan beliau sebagai pengganti Dr Mahathir adalah ketetapan yang dibuat dan dipersetujui oleh Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum yang lalu lagi.

“Soal perdana menteri sekarang seperti yang (dipersetujui) perjanjian, diserahkan kepada Anwar. Ini menjadi masalah kepada banyak orang. Tapi saya nak ulas… ia tidak menjadi masalah kepada saya.

“Pada saya yang penting Pakatan Harapan perlu tetap pada landasannya. Jaga demokrasi, jaga kepentingan rakyat, banteras rasuah dan tolak penyalahguaan kuasa,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan baharu Ibu Pejabat PKR di Bayan Baru, Pulau Pinang, hari ini.

“Saya tak anggap ini suatu yang obses. Kerana kalau ditakdirkan kita jalan, kita jalan kerana yang penting adalah agenda rakyat,” tambahnya.

Anwar juga sekali lagi mengulangi akan terus memberi sokongan kepada kepimpinan Dr Mahathir, yang sedang berusaha membaiki keadaan negara selepas PH mengambil alih Putrajaya daripada Barisan Nasional setahun yang lalu.

“Ini idealisme kita pertahankan dan ruang diberikan sepenuhnya kepada Tun Dr Mahathir untuk mengemudi bahtera PH dan Malaysia dalam keadaan yang sukar,” tambahnya.

Anwar juga menafikan ada perpecahan dalam PH terkait isu siapa pengganti Dr Mahathir.

“Saya hadir dalam semua mesyuarat PH. Saya berjumpa dengan Tun Mahathir setiap minggu, dan saya tidak lihat ada percanggahan (atau) pertembungan seperti mana yang ditafsirkan orang luar.

“Parti-parti (dalam) PH tidak berganjak daripada apa yang disepakati dan janji. Tidak ada perebutan untuk sama ada memperlambat atau mempercepat (peralihan kuasa), ” ujarnya lagi.

Semasa PRU14, Dr Mahathir jadi calon perdana menteri bagi PH kerana Anwar ketika itu masih menjalani hukuman penjara.

Sejak mendapat pengampunan diraja lebih kurang seminggu selepas PH menang pilihan raya umum 9 Mei, Anwar dan Dr Mahathir berkali-kali ditanya tentang pelan peralihan jawatan perdana menteri.
Dr Mahathir berulang kali menyatakan pendirian akan melepaskan jawatan apabila masanya tiba dan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar, seperti mana perjanjian sebelum PRU14 lalu.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah juga dua kali sebelum ini membuat penjelasan tiada tempoh masa rasmi bagi peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar.

Masa itu sebaliknya akan ditentukan oleh mereka berdua, katanya.

Dr Mahathir baru-baru ini berkata beliau mahu menyelesaikan masalah Malaysia terutamanya hutang negara sebelum menyerahkan pentadbiran Putrajaya kepada Anwar.

Anwar pula ketika mengulas pelan peralihan kuasa itu baru-baru ini bertanya untuk apa hal itu dibangkitkan berulang kali kerana ia boleh mencetuskan suasana tegang dalam PH

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.