https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bagai bulan jatuh ke riba Umno-PAS

Oleh Munir Majid

 ANDAI Pakatan Harapan (PH) mahu kembali berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang, gabungan parti itu perlu menunjukkan ia mampu menangani pelbagai isu yang kini menjadi perhatian.

Pertama sekali ia mesti menunjukkan, malah pada waktu ini, bahawa ia mahu menang pilihan raya umum akan datang.

Ia tidak harus tewas kerana mengambil pandangan jauh bahawa parti itu masih ada masa tiga tahun setengah untuk bertindak.

Agenda reformasi – yang menyenaraikan reformasi ke atas institusi dan pilihan raya, tadbir urus yang baik, kejujuran, integriti dan kebertanggungjawaban – amat penting tetapi memerlukan lebih daripada satu penggal parlimen untuk berhasil.

Bagi pegundi umum ia adalah perkara yang jauh dan abstrak berbanding isu nyata yang dibimbangi mereka.

Tidak ada banyak masa untuk menangani pelbagai isu ini dan menahan kemerosotan sokongan ke atas PH.

Jika ia tewas dalam pilihan raya umum akan datang, kuasa politik gelap yang ditewaskan pada Mei 2018 akan kembali dengan lebih gelap.

Kuasa politik gelap itu tidak akan biarkan diri mereka tewas sekali lagi dengan memainkan perkiraan kaum sepenuhnya, dan menyalahguna kuasa kerajaan dengan lebih menyeluruh berbanding PRU14 – yang dipanggil saintis politik sebagai pemerintahan diktator populis.

PH perlu bangkit dari sikap sambil lewa ke atas risiko serius ini. Tanggungjawab ke atas negara itu serupa dengan yang memberi kekuatan kepadanya untuk menumbangkan kerajaan lalu.

PH tidak harus menafikan ia sedang kehilangan sokongan rakyat. Perkara kedua yang perlu dilakukan adalah meraih semula sokongan itu. Tempoh tiga tahun setengah akan berlalu sekelip mata.

Rakyat tidak semestinya akan kembali menyokong PH kerana tidak dapat menerima Umno-PAS kembali berkuasa dengan kerajaan satu kaum satu agama. Perkara lebih aneh pernah berlaku dalam politik.

Bagaimana untuk mendapatkan semula sokongan? Paling kritikal – dan paling sukar – adalah perkara ketiga – menunjukkan PH komited kepada Malaysia yang pelbagai kaum dengan mengekalkan (atau meraih semula) sokongan bukan Melayu dan tidak meminggirkan sokongan pengundi Melayu (yang kini terhakis).

Jika perkara ini tidak dilakukan, asas kaum dan agama Umno-PAS akan menjadi lebih kuat dan sokongan bukan Melayu ke atas PH akan pudar.

PH perlu tampil sebagai satu suara yang amat jelas dalam isu yang rumit selepas berdekad lamanya diperintah secara de facto oleh satu kaum. Begitu juga ke atas sikap tidak bertoleransi terhadap agama serta usaha untuk melibatkan Raja-Raja sebagai pelindung kaum dan agama di Tanah Melayu.

Saya tiada sangsi bahawa PH komited pada Malaysia yang berbilang kaum. Tapi ada di kalangan gabungan parti ini yang mempunyai pendapat berbeza ke atas pencapaiannya, atau pembentukan semula nilai ini di Malaysia dengan ahli politik yang semakin terpisah.

PH perlu memberi takrif jelas kepada makna kepelbagaian kaum di Malaysia. Ia tidak harus menjadi satu slogan yang memberi harapan kepada satu pihak dan membuat pihak lain berasa terancam.

Satu perkara yang perlu dijelaskan kepada orang Melayu – tiada siapa akan menghilangkan hak keistimewaan mereka dalam Perlembagaan.

Orang bukan Melayu perlu memahami perkara ini juga, dan tidak mentafsirkan kemenangan PH bagi Malaysia Baharu ke satu peringkat di mana hak ini boleh dicabar.

Orang Melayu pula perlu memahami hak orang bukan Islam untuk mengamalkan agama selain Islam – yang diiktiraf Perlembagaan – tidak harus dicabul.

Ini adalah tugas yang besar. Bagaimana untuk memberi kefahaman mengenai asas kepelbagaian kaum di Malaysia selepas bertahun sikap ekstremis yang tidak bertolak-ansur, terutama di kalangan rasis Melayu-Muslim.

Undang-undang perlu digunakan, tidak disalahgunakan dan tertakluk kepada semakan kehakiman, untuk memastikan konflik dengan inspirasi kaum daripada mana-mana punca tidak kira luar atau dalam negara, tidak menjejaskan kepelbagaian kaum Malaysia. Undang-undang ini perlu diperkenalkan oleh PH.

Keempat, PH perlu menetapkan garis pemisah yang jelas antara hak perlembagaan dan dasar kerajaan.

Anda tidak harus membuka pelbagai masalah berhubung hak dijamin Perlembagaan tetapi anda boleh menyemak semua dasar terutama jika ia tidak berfungsi dengan baik.

DEB (Dasar Ekonomi Baharu) adalah salah satu dasar yang menyamar sebagai hak Perlembagaan kerana ia wujud selama lebih dua generasi dan menjadi tabiat buruk orang Melayu.

Dasar ini tidak betujuan untuk berlangsung begitu lama, tetapi ia dipergunakan untuk meraih populariti di kalangan Melayu dan menjadi satu hak, yang memberikannya hak perundangan yang salah.

Kuasa politik dan perundangan pura-pura DEB menjadikannya seperti satu seperti tiang pemujaan untuk memohon undi dari langit. Sebab itulah muncul kebimbangan untuk menyebut DEB perlu ditamatkan.

Maka sukar untuk membuat pendekatan bagi mencabutnya: Dasar ini bukanlah teruk, cuma pelaksanaannya begitu – ia sepatutnya berasaskan keperluan dan bukannya menumpukan kaum, dan sebagainya.

Sebenarnya DEB berjaya dan pada masa sama tidak berjaya. Ia amat tidak berjaya kerana menjadikan Melayu sebagai kaum yang bergantung dan tidak kompetitif dalam suasana global dalam dunia hari ini.

Paling baik, tinggalkan DEP tanpa mengelak menyatakan perkara sebenar. Biarkan ia tamat. PH sudah memperkenalkan dasar baharu – Kemakmuran Bersama. Ini patut diberi lebih banyak pengisian dan penekanan.

Tidak perlu apologetik dengan menyatakan Melayu perlu mendapat lebih banyak keuntungan kerana paling memerlukan. Perkara ini tidak perlu dibuktikan lagi. Apa yang perlu dijelaskan, perlu ada usaha semua pihak agar pertumbuhan ini dikongsi bersama.

Terdapat perbezaan di kalangan PH mengenai takrif Malaysia pelbagai kaum dan ke atas dasar baharu untuk mengantikan DEB.

Bersatu mahu memusnahkan dan menggantikan Umno dan mengambil alih kuasa dan mengawal pengundi Melayu. Namun Bersatu tidak banyak masa melainkan dengan mengharamkan parti Umno.
Jika tidak, Umno yang kembali dengan lebih kuat akan sukar ditangai, terutama apabila bergandingan dengan PAS.

Kemenangan dalam tiga pilihan raya kecil sejak kekalahan besar pada Mei 2018 memberi kekuatan kepadanya. Selain daripada mengharamkannya, satu-satunya cara untuk menghalang Umno adalah sekiranya ramai berpaling tadah menyertai Bersatu.

Jika itu berlaku, akan ada rombakan di peringkat pemimpin tertinggi Bersatu, yang akan memberi ancaman kepada penyandang jawatannya.

Kepimpinan yang teguh dalam Bersatu akan memberi kekuatan kepada barisan pemimpinnya tetapi jika tidak, ia tidak akan bertahan.

DAP pula hanya menumpukan pada agenda reformasi. Parti itu bungkam dalam soal kepelbagaian kaum Malaysia dan hak orang Melayu. Parti itu tidak banyak bercakap mengenai DEP.

Pandangan PKR dalam hasrat Malaysia perlbagai kaum dan dasar berasaskan keperluan pula terlalu umum. Takrif dan pengkhususan tidak menjadi kekuatan di kalangan pemimpin PKR.

Apabila dicantum semuanya, tisak jelas apakah Malaysia pelbagai kaum yang diingini oleh gabungan PH, dan dasar sosio ekonomi yang ingin ditaja.

Ia bagaikan bulan yang jatuh ke riba Umno-PAS. Nasionalis agamawan Melayu ini boleh mempersoalkan banyak perkara dalam dasar PH, membangkitkan ancaman tertentu kepada pengundi yang kian terangsang, dan memecah belahkan gabungan parti kerajaan.

Perlawanan dalam pilihan raya akan masih akan berlangsung dalam ksu kaum dan agama, bukan isu yang penting seperti pendidikan dan ekonomi, yang tetap melibatkan kaum dan agama.

PH akan tewas pilihan raya akan datang tanpa dasar yang jelas. Pada masa sekarang pun ia tidak cemerlang dalam menunjukkan prestasinya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.