Belia minat kemahiran kian menurun?
Oleh Nordin Abdul Malek
DALAM kita
bercakap berdegar-degar tentang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), Jepun
dan China sudah menggerakkan IR 5.0. Kita bukan sahaja masih
terkial-kial dengan persediaan ke arah itu iaitu sistem pendidikan,
kemudahan pembelajaran, tenaga pengajar, kerjasama industri tetapi juga
isu belanjawan yang indah khabar dari rupa atau ibarat ayam yang lebih
riuh daripada bertelur.
Amat membimbangkan lagi statistik pendaftaran
Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran
(JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) difahamkan menunjukkan jumlah
penurunan ke tahap perlu ditangani segera.
Statistik 2017-2019 menunjukkan pengurangan
mencecah hampir 50 peratus, seolah-olah populariti SKM tidak sehebat
dulu. Dalam tempoh tiga tahun sejak 2017, jumlah pensijilan SKM
berkurangan daripada 80,000 kepada 59,000 orang tahun lalu dan dijangka
tahun ini hanya mampu memperoleh sekitar 40,000 hingga 50,000 orang. Ini
merangkumi pensijilan daripada tahap 1 hingga 5.
Penulis pernah meramal, bersuara dan
mengesyorkan pelan tindakan sejak 2015 apabila melihat kelemahan,
kecamukan, kaedah pelaksanaan bersifat syok sendiri dan idea retorik
sama ada di peringkat pegawai pelaksana mahupun pemimpin politik yang
kononnya pejuang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Ketika itu, suara penulis melalui pelbagai
platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipandang sebelah mata oleh
pemimpin politik dan rasa kurang senang oleh pegawai-pegawai pelaksana
di peringkat tinggi. Kesannya, penulis terpaksa berhadapan dengan
pelbagai risiko yang dianggap menentang arus.
Tetapi hari ini, apa diperingatkan oleh
penulis menjadi kenyataan. Angka SKM akan memberi kesan kepada
justifikasi pelabur, majikan dan standard pendidikan antarabangsa
seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap persediaan kita menyediakan
tenaga kerja mahir yang menjadi asas utama pembangunan ekonomi negara.
Dunia mengakui pendidikan adalah kunci
kejayaan pembangunan negara dan TVET (termasuk SKM) adalah kunci utama.
Selain angka pendaftaran SKM yang diramalkan semakin berkurangan,
pembayaran tuntutan pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran
(PTPK), KSM kepada pusat bertauliah awam dan swasta dikatakan sekitar 40
peratus sahaja (hingga Ogos tahun ini) disebabkan kebanyakan PB mengadu
kesukaran memenuhi kuota pinjaman yang diagihkan kerana ketiadaan
pelajar.
Persoalannya, ke manakah lepasan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) yang mencecah hampir 500,000 orang setiap
tahun? Apakah TVET terutama sijil kemahiran sudah tidak lagi menjadi
‘nilai tambah’ kepada syarat pekerjaan, keusahawanan dan syarat pekerja
berpendapatan tinggi?
Statistik tahun lalu menunjukkan lepasan SPM
(480,000 orang) yang mengikuti keseluruhan pengajian di institusi
pengajian tinggi awam dan swasta serta institut latihan kemahiran adalah
seramai 250,000 orang sahaja. Ini bermakna, setiap tahun hampir 250,000
lagi lepasan SPM (termasuk tercicir awal) memasuki sektor pekerjaan
tanpa sebarang kelulusan.
Dalam kes SKM, faktor pendorong yang
menyumbang kepada trend penurunan ialah pertama, krisis keyakinan
masyarakat terhadap pelaksanaan TVET, sistem pembiayaan tidak konsisten
serta kaedah pensijilan kelam kabut. Pelatih dan pelajar menjadi mangsa.
Ibu bapa terutamanya semakin kurang keyakinan terhadap SKM.
Kedua, sikap, persepsi dan sasaran golongan
generasi Z mempunyai persepsi dan kehendak kemahiran TVET yang berbeza.
Mereka percaya kepada pendekatan latihan pendek, mempunyai penjimatan
kos serta tiada beban pinjaman pembiayaan serta jaminan kerja. Jika
ditambah suasana ekonomi dan kebolehpekerjaan yang agak mencabar ketika
ini, pendekatan SKM sedia ada akan beransur menjadi tidak relevan.
Ketiga, penguatkuasaan gaji minimum RM1,100
turut mempengaruhi generasi muda untuk tidak memerlukan latihan selepas
sekolah. Tanpa sebarang bukti latihan pun, mereka boleh bekerja dengan
pendapatan antara RM1,100 hingga RM1,500. Kebanyakan golongan ini
kumpulan B40.
Keempat, majikan sudah lebih fleksibel dalam
menilai kelulusan calon pekerja terutama pekerja tempatan. Selagi mereka
mahu bekerja dengan baik, majikan menerima mereka walaupun tanpa
kelulusan dan menawarkan gaji minimum. Mempunyai sijil kemahiran
hanyalah satu kelebihan, bukan wajib.
Kelima, kegagalan menerapkan TVET dan
menyampaikan maklumat di peringkat sekolah juga menjadi faktor kepada
pengurangan minat belia terhadap SKM.
Sudah tiba masanya, pembentukan ekosistem SKM
dan TVET dibentuk secara bersepadu dan serius melibatkan pemain
latihan, industri, majikan dan kerajaan negeri agar konsep latihan,
bimbingan dan pemantauan diterima pakai sebagai model wajib untuk
memastikan minat dan keberhasilan SKM berkesan.
PENULIS ialah Pengerusi Gabungan Institut Latihan Ke-mahiran Swasta Bumiputera.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.