https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bantu Bumiputera secara bersasar, selektif - Tun M

NEW YORK: Kerajaan akan meneruskan bantuan kepada golongan Bumiputera bagi memastikan jurang antara kaum di Malaysia tidak melebar.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bantuan tersebut adalah lebih bersasar di mana kerajaan akan bertindak secara selektif.

Jelasnya, ia bagi memastikan bantuan kepada Bumiputera itu tidak disalah guna terutama melibatkan pemberian kontrak dan lesen.

“Apa yang akan kita (Kerajaan) lakukan sekarang adalah untuk lebih selektif untuk menangani tabiat menjual kontrak atau peluang yang diberikan kepada mereka. Kita ingin pastikan mereka yang mendapat kontrak, akan melaksanakannya. Jika tidak, kita tarik semula kontrak.

“Kita tidak akan biarkan mereka menjual lesen atau kontrak yang menyebabkan ada golongan lain yang menerima manfaatnya. Malah, kebanyakkan kontrak yang diberi kepada Melayu, tiada yang dapat memenuhinya dan mereka menjual (kontrak) kepada Cina, ia lebih parah.

“Jadi kita ingin pastikan jika mereka mendapat kontrak, lesen atau sebagainya, mereka kena gunakan sepenuhnya,” katanya pada sesi soal jawab seiring Forum Pemimpin Sedunia di Columbia University di sini pada Rabu.

Beliau ditanya berkenaan sama ada Kerajaan akan meneruskan bantuan kepada golongan Bumiputera, yang dilihat masih mendominasi kelompok miskin di Malaysia walaupun pelbagai bantuan, usaha dan inisiatif dilakukan kepada golongan itu.

Mengambil contoh dalam bidang perubatan, Dr Mahathir berkata, pada suatu ketika dahulu hanya dua peratus sahaja doktor di Malaysia dari kalangan Melayu, berbanding 40 peratus pada ketika ini.
Jelasnya, apa yang berlaku sebelum ini adalah Kerajaan menyalurkan bantuan secara terbuka tanpa mengambil kira kemampuan.

“Saya cuba memberi bantuan kepada yang mampu berjaya, kepada mereka yang telah berjaya, kita terus membantu. Tetpi apabula saya bantu, saya dituduh sebagai kronisme.

“Jadi kalau tidak mahu dituduh sebagai kronisme, kamu perlu pastikan semua merasainya sebab ramai merasakan mereka bukan kroni saya atau tidak dituduh sebagai kroni saya,” jawab Dr Mahathir.

Jelasnya, fokus kerajaan ketika ini bukan hanya memberi bantuan atau inisiatif dalam kalangan yang terbaik, sebaliknya kepada mereka yang mampu melaksanakannya, sekali gus mengimbangi ketidakseimbangan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.