https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bekas menteri Salleh sambut baik gesaan Kit Siang berkait berita palsu

PETALING JAYA: Bekas menteri Salleh Said Keruak menyambut baik gesaan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam satu persidangan mengenai penyebaran berita palsu.

Salleh yang merupakan menteri komunikasi dan multimedia ketika Akta Anti-berita Tidak Benar diluluskan tahun lalu, berkata kini masanya untuk mengetepikan retorik dan menghadapi masalah sedia ada tanpa mengira fahaman politik.

“Kempen kesedaran terhadap ancaman ini perlu diteruskan. Semua rakyat Malaysia perlu bersatu dan memainkan peranan mereka untuk menentang berita palsu yang mengancam masyarakat kita,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas gesaan Lim.

Komen Salleh menyusul selepas Najib Razak mempersendakan gesaan Lim dan melabelkan beliau “datuk berita palsu”.
Bekas perdana menteri itu turut menyenaraikan beberapa dakwaan pemimpin Pakatan Harapan mengenai loji Lynas, program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kematian Altantuya Shaariibuu, Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, bekas pembantu DAP Teoh Beng Hock dan bekas pengasas bank Hussain Najadi.

Minggu lalu, Lim dalam ucapan di Sandakan mencabar semua parti politik mengambil “pendirian tegas dan bersama” untuk menentang berita palsu dan ucapan kebencian.

“Adakah parti pembangkang sedia menghadiri sidang meja bulat untuk memerangi berita palsu dan ucapan kebencian? Jika ya, DAP sedia menganjurkan sidang meja bulat itu,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Salleh menyifatkan berita palsu sebagai “ancaman terhadap cara hidup kita” dan berkata sebarang usaha untuk menghentikan berita palsu turut bergantung kepada kepimpinan kuat.
“Apa yang kita perlukan juga ialah satu kepimpinan tegas untuk menguatkuasakan dan mendidik masyarakat.”

Akta Anti-berita Tidak Benar 2018 diluluskan di bawah pentadbiran Barisan Nasional ketika ia dikritik hebat orang ramai dan pemimpin PH.

Kerajaan PH kemudiannya meluluskan satu rang undang-undang untuk pemansuhan akta itu pada 16 Ogos 2018, tetapi langkah itu gagal mendapat sokongan Dewan Negara.

Kerajaan berkata, ia akan membentangkan semula pemansuhan RUU itu pada sidang Parlimen akan datang.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.