Kebanyakan syarikat swasta mempunyai ramai pekerja Melayu dan menjadi tenaga pekerja majoriti. 

Walaupun hakikatnya sesebuah syarikat itu dimiliki bukan Muslim, tetapi rangkaian ekonomi meliputi juga komuniti lain. Ia termasuk pengambilan bahan mentah, pembekal barangan serta penghantaran kepada pembeli secara hubungan rangkaian perniagaan. Hubungan sebegini adalah hakikat sebenar ekonomi tempatan dan juga di peringkat global. 

Tambahan pula semua syarikat yang mendapat keuntungan akan membayar cukai untuk manfaat seluruh masyarakat. Ia termasuk juga pembiayaan gaji dan elaun kakitangan kerajaan yang majoritinya Melayu. Wang cukai ini juga digunakan untuk pembangunan pendidikan dan kesihatan. Wang dapatan dari cukai syarikat-syarikat yang membuat untung juga digunakan untuk membiayai institusi Islam seperti Jakim. 

Maka adalah suatu perkara yang malang jika mereka yang menguar-uarkan kegiatan boikot ini kurang faham tentang prinsip dan dasar ekonomi ataupun sengaja memainkan sentimen perkauman dan provokasi emosi orang Islam dengan agenda tersendiri.

Ramai orang Melayu dan Islam juga memegang saham dalam kebanyakan syarikat tersenarai awam dan nama-nama mereka pun terpapar sebagai ahli-ahli lembaga pengarah. 

Kebanyakan syarikat di Malaysia juga telah melaburkan wang dalam usaha menjadikan produk dan kegiatan syarikat itu serasi dengan syariah dan mendapat pensijilan halal. 

Malaysia merupakan hab halal yang terbesar di dunia di atas usaha orang-orang Islam dan bukan Islam.

 Jika ada apa-apa usaha memboikot, ia akan mendatangkan kesan bukan sahaja kepada orang bukan Islam tetapi pada orang Islam juga. 

Kami percaya kita semua harus mengeratkan integriti bangsa kita lebih daripada memecahbelahkan masyarakat dengan hasutan boikot sebegini. 

TAWFIK ISMAIL, MOHD TAJUDDIN MOHD RASDI, SYED SADIQ ALBAR, SHAD SALEEM FARUQI, NURUL HAQQ SHAHRIR, NOOR FARIDA ARIFFIN, HASSAMUDDIN YAACUB, WONG CUN WAI, CHANDRA MUSZAFFAR, ANAS ZUBEDY