Kerjasama UMNO-Pas: Antara Obsesi dan Cinta
MUTAKHIR ini,
politik Malaysia ditumpukan dengan kerjasama antara UMNO dan Pas.
Bermula dengan pakatan isu yang melibatkan kepentingan Islam dan orang
Melayu, disusuli pakatan pilihan raya yang tidak melibatkan pertarungan
sesama sendiri antara UMNO dan Pas dalam beberapa pilihan raya kecil,
kerjasama kedua-dua buah parti dilihat semakin ampuh.
Sabtu ini, satu piagam akan dimeterai menandakan
kerjasama dua buah parti Melayu/Islam terbesar di negara memasuki fasa
penting ke arah penyatuan ummah. Piagam UMNO-Pas boleh disifatkan
sebagai satu perjanjian bertulis bagi menentukan hala tuju kerjasama
pada masa akan datang. Apa yang dapat difahami, persefahaman antara UMNO
dan Pas perlu distrukturkan secara jelas agar ia bukan satu kerjasama
longgar dan jangka pendek seperti kerjasama terdahulu.
Untuk mencapai ke tahap ini (piagam), ia
memerlukan keterbukaan dan jiwa yang besar antara kedua-dua buah parti.
Dari segi sejarah misalnya, Pas pernah enggan menandatangani piagam
Angkatan Perpaduan Ummah (APU) secara bertulis. Piagam tersebut
mengandungi lapan prinsip antaranya, Islam sebagai ad-deen, memperjuang
hak orang Melayu, mempertahan institusi Raja Perlembagaan, dan konsep
pembahagian jawatan dalam kerajaan APU, iaitu 60 (Pas): 40 (S46).
Bagi Parti Melayu Semangat 46 yang menjadi rakan
Pas dalam APU, piagam bertulis tersebut penting untuk mewujudkan
persefahaman politik yang lebih teratur dan jelas. Namun begitu, Pas
berpandangan sebaliknya. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat
berkata, APU tidak memerlukan perjanjian bertulis kerana apa yang lebih
penting adalah niat dan komitmen daripada semua pihak. Menurutnya lagi,
Islam tidak hanya bergantung kepada apa yang ditulis di atas kitab,
tetapi apa yang terbuku dalam hati.
Kita percaya, sama ada Pas ataupun UMNO, mereka
telah belajar daripada kekhilafan masing-masing. Perseteruan yang tidak
bertebing akan merugikan orang Melayu. Seteru politik memang menantikan
perpecahan politik Melayu kerana ia membuka laluan lebih mudah untuk
mereka berkuasa. Lim Kit Siang dalam bukunya, BA and Islamic State
(2001) mengakui perpecahan UMNO memberi kelebihan kepada parti
pembangkang ketika itu untuk menambahkan sokongan.
Kerjsama UMNO-Pas bukanlah satu perkara baharu.
Tulisan ini akan memberi fokus kepada tiga saranan bagaimana kerjasama
UMNO-Pas dapat diperkukuhkan dan bersifat jangka panjang bertepatan
dengan termeterainya piagam sabtu ini.
Pertama, kerjasama UMNO-Pas perlu diupayakan
sebagai mekanisme bukan saja untuk mendapatkan semula kuasa politik
tetapi bersandarkan kepada agenda Melayu/Islam yang jelas. Agenda
Melayu/Islam mesti dipertaruhkan dengan pelan strategik yang tersusun,
sekurang-kurangnya untuk lima tahun akan datang.
Kita khuatir, kerjasama tanpa agenda yang jelas
hanyalah sekadar satu penzahiran obsesi kepada kuasa bukan cinta kepada
ummah dan agama. Kedudukan kedua-dua buah parti sebagai parti
pembangkang wajar dimanfaatkan untuk menyusun kembali kekuatan dan
menginsafi kekhilafan selama ini.
Kedua, kerjasama UMNO-Pas banyak bergantung
kepada kebijaksanaan pemimpin. Pemimpin kedua-dua buah parti mesti
sentiasa menjadi penghubung yang dapat merungkaikan jika ada kekusutan
dan membuka jalan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat. Dalam UMNO
misalnya, pemimpin seperti Datuk Mohamad Hassan dan Datuk Seri Mohamed
Khaled Nordin dilihat antara tokoh yang sentiasa menyeru kepada jalan
kerjasama dalam ucapan mahupun tulisan secara rasional dan matang.
Pas juga perlu lebih kerap mengetengahkan
pemimpin yang boleh meneroka jalan kerjasama dan meyakinkan akar umbi
bahawa kerjasama mereka dengan UMNO perlu dilihat dalam konteks yang
lebih besar, bukan semata-mata siapa mendapatkan kuasa.
Tidak dinafikan, dalam banyak sejarah kerjasama
politik, faktor elit politik sangat penting yang secara langsung
menyumbang kepada pasang surut satu-satu hubungan. Meskipun kita tidak
boleh menolak pengaruh akar umbi, peranan elit politik sangat kritikal
dalam proses tawar menawar dalam kerjasama.
Ketiga, kerjasama UMNO-Pas perlu melihat soal
perkongsian kuasa, dalam erti kata, memastikan Politik Melayu kekal
sebagai teras Politik Malaysia dan mencari formula yang lebih segar
kepada kerjasama dengan politik bukan Melayu. Tidak dinafikan, naratif
politik kerjasama di Malaysia masih lagi kuat bersumberkan sejarah dan
hubungan kaum.
Konsep menang-menang dalam kerjasama ini perlu
dijadikan pendekatan yang akan menjamin semua pihak mendapat manfaat
secara adil dan saksama. Adil itu bukanlah bermaksud sama rata, tetapi
meletakkan sesuatu pada tempatnya, atau memberi hak kepada yang berhak.
Perlu diingatkan, politik kerjasama adalah
kearifan tempatan yang kita terokai sejak sebelum kemerdekaan
sehinggalah kini. Kebijaksanaan pemimpin terdahulu menyusun kerjasama
atas semangat tolak ansur dan muafakat untuk mengenepikan perbezaan,
menyaksikan politik Malaysia terus aman dan stabil.
Pastinya banyak pihak menantikan apakah
kandungan piagam kerjasama UMNO-Pas ini. Apa yang jelas, piagam ini
diharap akan menzahirkan komitmen mereka untuk menjayakan kerjasama ini
untuk jangka masa panjang, bersandarkan cinta (ummah) bukan obsesi
(kuasa). Mungkin juga membuka satu naratif baharu kerjasama yang tidak
pernah dilihat sebelum ini. Sama-sama kita saksikan.
Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.