https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pentadbiran bersih 'modal' PH pada PRN-12

MIRI: Dasar pentadbiran bersih dan menolak penyalahgunaan kuasa menjadi ‘modal’ Pakatan Harapan (PH) untuk menawan Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, berkata adalah hasrat besar PH untuk mencipta sejarah menawan negeri ini menerusi kesepakatan semua parti komponen.

“PH mahu menawan Sarawak pada 2021. Namun, misi itu hanya dapat dicapai menerusi perpaduan antara parti komponen PH.

“Jika bertanding sendirian, kita mungkin boleh menang beberapa kerusi tetapi tidak dapat memerintah.

“Bagaimanapun jika empat parti ini bersatu, PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), saya yakin boleh menang serta mengambil alih Kerajaan Sarawak (pada PRN-12),” katanya kepada pemberita, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan menghadiri majlis makan malam PH 901.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan, turut hadir pada majlis sama.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, AMANAH akan meletakkan calon bertanding pada PRN di Sarawak selepas mengadakan perbincangan bersama parti komponen lain.

“Masih terlalu awal untuk mendedahkan sasaran menang kita, namun saya sendiri akan turun padang mengetuai jentera parti bagi kempen pilihan raya di Sarawak nanti,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata, PH akan membuktikan pentadbirannya lebih baik dalam tempoh lima tahun ini, berbanding era 60 tahun pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“PH akan menggunakan kuasa diberi dengan sebaik-baiknya dan untuk kesejahteraan rakyat, termasuk di negeri pembangkang. Pemerintahan PH tidak akan menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.