Tubuh RCI, tumpaskan sindiket MyKad tidak sah
Oleh YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
POLIS Diraja Malaysia
(PDRM) telah mendedahkan wujudnya sindiket mendapatkan dokumen
perjalanan (pasport) dan dokumen pengenalan diri (MyKad) secara fraud.
Dalam operasi yang dijalankan, dikatakan sejumlah 20 individu
termasuklah pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, ejen,
orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta
pasport Malaysia secara fraud telah ditahan.
Saya mendesak agar Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat siapakah
dalang utama di sebalik sindiket ini. Penubuhan RCI sangat diperlukan
pada waktu ini memandangkan sindiket penjualan MyKad adalah suatu
tragedi kepada negara serta melibatkan kepentingan awam. Tambahan pula,
PDRM dalam kenyataan medianya turut memberikan indikasi bahawa sindiket
ini belum ditumpaskan sepenuhnya kerana masih ada ahli-ahli sindiket
yang masih bebas.
Banyak persoalan yang memerlukan
kepada siasatan yang bebas daripada pengaruh politik. Rakyat mahu tahu
apa motif utama MyKad ini diberikan secara besar-besaran? Berapakah
jumlah sebenar MyKad yang telah dijual dan apa status pemegang MyKad
secara pintu belakang ini? Adakah mereka akan didaftarkan sebagai
pengundi secara automatik pada pilihanraya akan datang? Adakah ribuan
MyKad yang diperoleh secara tidak sah ini hanya dikeluarkan di Pulau
Pinang sahaja, bagaimana pula dengan negeri-negeri lain? Adakah lebih
ramai pegawai JPN yang terlibat?
Pemberian MyKad kepada warganegara
asing ini umpama bom jangka kepada penduduk tempatan. Sejak sekian lama,
media melaporkan warganegara asing ini telah terlibat dengan pelbagai
jenayah. Pemerdagangan manusia, sindiket judi atas talian, sindiket jual
emas palsu dalam talian, penyeludupan dadah sehinggalah kepada sindiket
pelacuran di premis-premis maksiat. Bahkan, pada tahun 2008, terdapat
cubaan seorang warganegara asing di Sabah yang telah menggunakan kad
pengenalan diri palsu untuk memohon menjadi anggota tentera. Keadaan ini
dilihat sangat membimbangkan kerana melibatkan kedaulatan Malaysia dan
mengancam keselamatan negara.
Paling mengejutkan adalah apabila
Penolong Pengarah JPN, Datuk Lai Chin Wah sendiri telah ditangkap atas
dakwaan terlibat dengan sindiket ini. Sekiranya sindiket ini tidak
terbongkar, bayangkan apa akan jadi kepada Pulau Pinang apabila individu
ini dinaikkan pangkat kelak. Tanpa suruhanjaya siasatan yang bebas,
saya khuatir penangkapan pegawai tinggi JPN ini hanyalah untuk menutup
siapa pengkhianat sebenar yang menyerahkan negara kepada yang tidak
berhak.
“Islam Memimpin Perpaduan”
YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
18 September 2019/ 18 Muharram 1441H
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.