https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sarapan percuma cecah kos hingga RM1.67 bilion

Peruntukkan antara RM800 juta hingga RM1.67 bilion setahun akan dibelanjakan untuk melaksanakan Program Sarapan Percuma (PSP) di semua sekolah rendah tahun depan, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

“Anggaran kos antara RM800 juta sehingga RM 1.67 billion bergantung kepada kaedah pelaksanaan bagi 200 hari persekolahan, ambil kira kos bahan mentah, di kawasan pendalaman termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.


“Sebanyak 2.69 juta murid seluruh negara dapat manfaat,” katanya di Dewan Rakyat ketika sesi soal jawab, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) berhubung mekanisme pelaksanaan PSP untuk murid sekolah rendah.

Maszlee berkata PSP yang bakal dilaksanakan tahun depan akan dibuat menerusi dua mekanisme iaitu PSP selama 30 minit bagi kombinasi makanan bermasak dan buah-buahan serta 10 minit bagi produk minuman tenusu, bijirin, roti dan telur rebus.

Selain itu, katanya, kementerian juga merancang supaya murid-murid mengambil sarapan pagi di bilik darjah bersama guru-guru, yang juga layak mendapat sarapan percuma.

“Kaedah makanan di dalam kelas bersama guru merupakan salah satu langkah praktikal daripada segi ruang dan hubungan dari segi guru dan murid.

"Guru akan bersarapan sekali dengan murid di samping mengambil peluang mendidik mengenai khasiat makanan serta adab pemakanan manakala lokasi makanan murid akan dipelbagaikan bagi memberi masa kepada murid mencuci peralatan makanan masing-masing.

"Ini juga termasuk sebahagian daripada pendidikan sivik yang ingin diterapkan kementerian selain elemen pendidikan kesihatan dengan mengamalkan pengambilan sarapan berkhasiat dan sihat," katanya.

Beliau juga memberitahu, waktu pemberian sarapan adalah sebelum jam 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan sebelum jam 4 petang bagi sesi petang selain dijadualkan secara berperingkat mengikut kesesuaian sekolah.

"PSP adalah hadiah kerajaan pusat kepada rakyat. Kita mengambil berat mengenai nutrisi dan sebab itu bimbingan daripada Kementerian Kesihatan menjadi panduan kepada kami," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.