https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anwar: Tidak perlu undi pembangkang untuk buat kerajaan ‘mendengar’

PONTIAN, 11 Nov — Rakyat tidak perlu untuk mengundi pembangkang pada Pililhan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 Nov ini, hanya untuk memastikan kerajaan “mendengar” rintihan mereka, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun mengakui PRK Tanjung Piai adalah satu pertandingan sengit, beliau yakin dengan kewibawaan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini dan telah mengarahkan jentera PKR untuk beri sokongan sekuatnya kepada Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu.

“Ketika mendengar taklimat pimpinan Keadilan (PKR) mengenai proses undian di Tanjung Piai.

Mereka beri maklumat tentang keluhan yang banyak daripada rakyat mengenai beberapa isu.

“Jadi kita dengar dan saya merasakan tak perlu kita (rakyat) undi pembangkang kerana kita (kerajaan) dengar keluhan mereka (daripada isu) petani, nelayan, pekebun kecil, pengangguran daripada kalangan pelajar, kemudahan kesihatan dan pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas sesi sembang santai di Pejabat PKR Cabang Tanjung Piai di sini, hari ini.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut memberi contoh bagaimana kerajaan “mendengar” dengan kehadiran beberapa pemimpin PH termasuk Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal serta beberapa menteri, yang hadir pada majlis melibatkan Karmaine.

Ketika ditanya mengenai kurangnya kehadiran masyarakat pada ceramah PH ketika kempen, beliau berkata perkara itu memang biasa di setiap kempen pilihan raya.

“Itu biasa. Orang nak dengar Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan Anwar sebagai PH sekarang, tak sama. Isu yang sama, tapi nadanya lain,” kata beliau sambil tersenyum.

Beliau turut menjelaskan “kehadiran” masyarakat setempat menunjukkan mereka mahu mendengar isu yang disampaikan.

“Contest pilihan raya ini bukan contest ceramah tetapi contest isi dan contest meraih sokongan,” kata Anwar.

Ketika ditanya lebih lanjut samada kehadiran itu akan diterjemahkan ke dalam undi, beliau berkata: “jika anda perhatikan corak pilihan raya yang lepas, saya menghimpunkan sokongan penuh di semua dewan undangan yang saya kunjungi tetapi kita tidak menang semua kerusi berkenaan”.

“Tetapi sekiranya anda mengukur hanya dengan nombor, sudah tentu kita boleh menang tetapi itu tidak perlu,” katanya.

Yang turut hadir ialah Dr Sahruddin, yang juga pengarah jentera pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai bagi PH serta beberapa pemimpin PKR Johor. — Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.