https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bn Dan Pas Tanpa Haluan

Oleh Abu Hassan Adam

Katalah apa pun. Yang jelasnya samada Barisan Nasional atau PAS sememangnya tanpa tujuan dan haluan. Pengikut BN dan PAS di peringkat akar umbi sedang ‘pening’ melihatkan gelagat pemimpin mereka. Tidak tentu tujuan semacam cacing kepanasan. Tidak tentu dasar mana dan perjuangan macam mana yang akan dilakukan oleh kepimpinan mereka. Kesemuanya berbentuk ‘ad hoc’. Jikalau dalam bahasa kampung diistilahkan sebagai ‘tak tentu ketumbuk’ atau ‘kacau kena’ atau ‘surung sentap’. Dan dalam bahasa mudahnya, ‘pagi cakap lain, petang cakap lain, malam lagi lain…’.

Aku yakin kepimpinan samada UMNO atau PAS amat takut dan bimbang untuk bertemu dengan para wartawan. Banyak soalan pukulan maut akan dikemukakan dan tidak mudah untuk dijawab. Tak payah lah nak diberikan contoh-contoh soalan yang mungkin disoal oleh wartawan dan yang tidak boleh dijawab secara objektif oleh kepimpinan PAS dan UMNO. Yang paling menyukarkan untuk dijawab tentuya jika dikemukakan soalan perbandingan berkaitan dengan PRK Cameron Highlands dengan Tanjung Piai.

Pakatan Harapan juga aku rasa sudah melakukan kesilapan besar terutama yang bersangkut paut dengan perasaan orang Cina. Pengundi Cina semacam menganggap pemimpin Bersatu bukan rakan karib mereka berbanding dengan kepimpinan PKR dan Amanah yang lebih liberal dari segi perjuangan mereka. Walaupun tidak kelihatan secara terus terang, namun tindakan beberapa orang pemimpin Bersatu (menteri-menterinya) sudah semacam meragukan orang Cina terutama dasar pendidikan yang dikemukakan Menteri Pendidikan semacam mengguris perasaan orang cina, walaupun dilihat semacam untuk mengambil hati orang Melayu, dan sepatutnya dilaksanakan sedemikian. Penglibatan keimpimpinan dalam perhimpunan menebus maruah Melayu baru-baru ini juga dilihat oleh orang Cina sudut yang negatif dari kaca mata orang Cina.

Keadaan sebegini tidak menyebelahi Pakatan Harapan dalam PRK Tanjung Piai yang akan datang apabila isu sedemikian diketengahkan. Masyarakat Cina di Tanjung Piai pastinya menunggu ‘peluang’ sebegini untuk membalas dendam dan ‘mengajar’ tokoh-tokoh dan ‘pemimpin’ yang agak sombong dan yang tidak mengambil kira hati dan perasaan masyarakat Cina. ‘Kesombongan’ yang ditunjukkan oleh pemimpin UMNO dan PAS khususnya pada PRK di Cameron Highlands sudah cukup memberi tamparan kepada masyarakat Cina. Dalam PRK berkenaan isu ‘kafir/Islam’ dimainkan dengan cara berleluasa dengan tidak langsung berhasrat untuk menjaga hati golongan yang terkena tempiasnya.

Jikalau di PRK Cameron Highlands pemimpin PAS mengenengahkan satu ‘fatwa’ bahawa orang Islam tidak harus mengundi calon dari golongan kafir ( calon Pakatan Harapan) tetapi di Tanjung Piai dibolehkan pulak. Ini yang menyebabkan para pengundi yang terdiri dari rakyat bawahan dalam keadaan ‘pening’ kepala melihatkan gelagat kepimpinan PAS. Dan ramai yang sudah mula melihat parti PAS sebagai parti ‘lawak’ yang boleh bertanding dalam pesta lawak jenaka.

Keadaan yang berlaku di Tanjung Piai itu seolah-olah memberi pengajaran dan iktibar kepada parti-parti politik di Malaysia bahawa isu agama dan perkauman harus dihindarkan oleh kepimpinan politik sekiranya kita betul-betul mahukan negara Malaysia menjadi sebuah negara berbilang kaum yang hidup dengan aman dan harmoni. PRU 14 telah mengajar kita bahawa rakyat Malaysia boleh bersatu dalam satu arah tujuan tanpa memikirkan tentang memainkan isu agama dan bangsa.

Rakyat Malaysia betul-betul bersatu hati dan bertekad untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang hampir-hampir ‘menghumbankan’ negara ini di lembah kehinaan. Rakyat Malaysia betul-betul bersatu hati dibawah kepimpinan Tun Mahathir memenangkan Pakatan Harapan agar kepimpinan kleptocracy BN dapat dinyahkan dari bumi ini. Keadaan harmoni dan kerjasama antara kaum di Malaysia kini agak ‘pudar’ disebabkan berbagai anasir yang ditimbulkan yang berkemungkinan membawa perpecahan dikalangan masyarakat Malaysia. PAS dan UMNO bersungguh benar nampaknya memainkan isu sedemikian kerana dengan memainkan isu sebeginilah mereka dapat bernafas dan bertapak semula. Telah terbukti berjaya di beberapa PRK yang diadakan sebelum ini.

Para pengundi di Tanjung Piai harus berlaku adil pula dalam menentukan siapa yang harus dimenangkan dalam PRK berkenaan. DS Anwar Ibrahim ada menyatakan bahawa para pemilih di Tanjung Piai harus diberikan penjelasan tentang ‘usia’ Pakatan Harapan yang terlalu muda yang memerintah negara ini. Tentulah tidak adil para pemilih ‘menjatuhkan hukuman’ kepada kepimpinan PH yang baru setahun jagung ini. Mereka harus diberikan peluang untuk mentadbirkan negara dengan sebaik mungkin.

Kini pengundi di Tanjung Piai betul-betul berada dipersimpangan untuk membuat keputusan. Mereka betul-betul dalam keadaan serba salah. Setiap parti yang bertanding mempunyai hujah masing-masing yang perlu difikir dan diteliti oleh para pengundi. Untuk menghukum Pakatan Harapan yang baru setahun jagung memerintah negara ini tentulah tidak begitu adil. Pakatan Harapan perlu diberikan kesedaran tetapi bukan kesedaran yang berbentuk satu hukuman. Apakah cara dan tindakan yang perlu dilakukan terpulanglah kepada pengundi di Tanjung Piai.

lakulah seperti mengambil ‘rambut dalam tepung’ agar rambut dapat diambil dan tepung tidak bertaburan. ‘Bunuhlah ular sehingga mati tetapi kayu jangan patah’.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.