https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pakatan kecam pembangkang guna istilah kafir di Tanjung Piai

Oleh

PEMBANGKANG menggunakan agama untuk memburukkan parti DAP, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH) Salahuddin Ayub, menjadikan retorik perkauman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, semakin buruk.

Salahudddin, yang juga timbalan presiden Amanah berkata ahli DAP dilabelkan sebagai kafir harbi sementara ahli MCA dianggap sebagai kafir dzimmi.

Penggunaan terma itu, iaitu takfiri, berunsur kontroversi dan dikutuk sebelum ini oleh pihak berkuasa Islam kerana tidak selaras dengan norma demokratik.

Salahuddin menuduh pembangkang menggunakan takfiri untuk menarik pengundi Melayu di Tanjung Piai supaya benci kepada DAP dan PH, tetapi beliau tidak menyatakan parti mana yang berbuat demikian.

Kerusi Parlimen itu ditandingi enam calon tetapi antara yang mendahului ialah Karmaine Sardini, calon PH dan Wee Jeck Seng (Barisan Nasional).

Wee mendapat sokongan parti Melayu Umno dan dan sekutunya PAS.

“Saya dengar seorang penceramah di bilik gerakan BN dia ceramah kenapa kita pilih Wee Jeck Seng kerana dia kafir dizmi. Dia sebut Wee kafir dzimmi,” kata Salahuddin di depan khalayak di Kampung Sri Bunian, Tanjung Piai malam tadi.

“Penceramah kata kenapa kita tolak orang Cina dari parti lagi satu kerana mereka ini kafir harbi. Kafir zimi kafir harbi, ini cerita apa? Bukan tugas kita untuk kafirkan orang ini,” katanya yang juga menteri pertanian dan industri asas tani.

“Kita tak mahu budaya kafir mengkafirkan ini tumbuh dalam negara kerana budaya ini hancurkan negara-negara Islam.

“Kita negara aman kita hidup dalam negara berbilang kaum dan agama.”

Salahuddin turut menyentuh tentang pendirian PAS yang tidak konsisten tentang bukan Islam, menuduh parti itu mengubah sikapnya untuk disesuaikan dengan matlamat politiknya.

“Dulu dia kata tak boleh undi kafir, sekarang boleh pulak Kita tidak mahu terperangkap dalam permainan perkauman yang mana kita tukar-tukar kitab, kita tukar-tukar fatwa.”

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang turut menyampaikan ceramah mengkritik PAS dan Umno kerana cuba menakut-nakutkan umat Islam dengan mengatakan Islam terancam di bawah pentadbiran PH.

Beliau berkata peruntukan bertambah untuk Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Islam (Jakim) dan guru KAFA membuktikan PH membangunkan dan menyokong institusi Islam.

“Adakah Muslim rasa tergugat kerana tak boleh solat? Adakah Muslim rasa tergugat kerana kerajaan nak tukar agama rasmi daripada Islam. Tentunya tidak,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.