https://critoxium.com/shop/

Terkini

Siapa sabotaj kerajaan; daulah terpendam atau penyokong BN?

Oleh

BETULKAH wujud “daulah terpendam” dalam perkhidmatan awam Malaysia?

Empat sumber dalaman kerajaan yang bercakap dengan wartawan  mendedahkan memang ada unsur penentangan dalam perkhidmatan awam terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak ia memerintah 18 bulan lalu.

Namun ada perbahasan sama ada penentangan itu terancang dengan arahan yang teratur atau hanya kelompok kakitangan awam, yang tidak puas hati dan masih menyokong Barisan Nasional (BN), yang memang sengaja menentang kerajaan.

Sumber kerajaan, yang semuanya enggan identiti mereka didedahkan, berkata kakitangan awam ini melawan kerajaan kerana mereka yakin PH hanya akan jadi kerajaan sepenggal.

Selebihnya, mereka merasakan tiada hala tuju kepimpinan daripada menteri serta tidak dapat menyesuaikan diri dengan cara kerja menteri atau menteri yang kurang berpengalaman.
Di bawah pentadbiran BN, budaya kerja yang dibangunkan dengan konsep setia – yang kadang-kadang sampai menjejaskan kecekapan dan kualiti – sangat berakar umbi, kata mereka.

Istilah “daulah terpendam” dalam pentadbiran kerajaan PH mula ditimbulkan oleh Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pada April ketika mereka mengulas keputusan Putrajaya menarik diri daripada mengesahkan Statut Rom, yang akan menjadikan Malaysia negara anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Malaysia menarik diri daripada meratifikasikan Statut Rom kerana bimbang kemungkinan rampasan kuasa yang didalangi “daulah terpendam” yang memainkan isu sentimen Melayu dan Raja-Raja Melayu, kata Saifuddin.
Putrajaya bagaimanapun tidak pernah menuding sesiapa yang dimaksudkan sebagai “daulah terpendam” ini.

Empat sumber itu juga memberitahu , pemimpin kerajaan tidak terus menyalahkan daulah terpendam apabila ada yang tidak kena.

Ini kerana, pertama, kewujudannya sukar dibuktikan, dan kedua, adalah lebih baik jika mereka berusaha mendekati kakitangan awam dan memahami bagaimana ia beroperasi.

“Kalau kita terus bebankan masalah pada daulah terpendam, itu pun kemudiannya akan jadi satu masalah,” kata seorang anggota pentadbiran di Putrajaya dalam kalangan lantikan politik.

“Kita perlu masa untuk membetulkan keadaan. Kita juga perlu bertanya, kalau kerajaan PH hari-hari dikutuk, apa yang sedang berlaku?

“Kalau penjawat awam tidak bekerjasama, jumlahnya kecil… masih ada sebab yang lain,” katanya, sambil mengingatkan ada kakitangan awam yang memberikan kerjasama baik kepada kerajaan baharu.

Memenangi hati rakyat

Sumber sama berkata sesetengah penjawat awam merasakan kerajaan PH tidak akan bertahan lebih daripada sepenggal kerana prestasi beberapa menteri.

“Banyak menteri dan timbalan menteri kita tak ada pengalaman, tidak tahu macam mana nak berurusan. Dalam kementerian ketua setiausaha kementerian yang paling besar (penjawat awam paling tinggi dan paling berkuasa).

“Sistem dalam kementerian memang sudah kukuh, tak kira zaman BN atau PH. Sesetengah (penjawat awam) yang pro BN mereka ada sistem… mereka tahu apa yang patut dirujuk kepada KSU.
“Menteri dan timbalan tidak berpengalaman, mereka perlu masa belajar berurusan dengan KSU,” katanya.

Seorang timbalan menteri berkata sebenarnya tidak betul tanggapan umum kononnya kakitangan awam lembab dan malas. Banyak dalam kalangan mereka yang berpengalaman luas, ada idea dan pengetahuan.

Mereka inilah yang harus dipupuk dan diberikan galakan untuk meningkatkan prestasi, katanya.
“Zaman kerajaan BN yang mewujudkan budaya kerja merosakkan, yang tidak menghargai prestasi sebaliknya kesetiaan.

“Zaman dulu menteri atau timbalan tak kisah performance, mereka nak loyalty terhadap parti. Bukan penjawat awam tidak tahu buat kerja, cuma prestasi jadi isu kedua penting. Mereka hanya hendak orang yang jadi pak turut.

“Apabila sistem sudah koyak, penyampaian akan jadi lemah kerana mereka hendakkan kesetiaan bukannya kemampuan.

“Apabila menteri nak dapatkan hasil kerja, mereka akan outsource, cari orang luar, bayar gaji besar, tubuh pasukan khas, ambil pakar dari luar, suruh mereka buat kerja,” katanya.

Timbalan menteri itu berkata apabila PH mengambil alih kerajaan, amalan itu mula dihentikan. “Kita masuk kementerian, kita kurangkan sub kontraktor dan kita minta penjawat awam sendiri uruskan majlis,” katanya.

Beliau menjelaskan pada mulanya kakitangan awam ini rasa kurang yakin diri tetapi setelah digalakkan untuk mencuba, mereka melakukannya dan berjaya.

Timbalan menteri itu percaya ada peningkatan prestasi kakitangan awam yang menyeluruh berbanding semasa beliau mula menjejakkan kaki di kementeriannya lebih setahun lalu.

Katanya, semua ini dicapai hasil pendekatan yang memberi kepercayaan kepada penjawat awam serta usaha mewujudkan suasana kerja yang positif.

“Kita kena rapatkan jurang, latih orang yang berkaliber, ubah pemikiran dan budaya kerja.

“Kadang-kadang menteri bagi arahan, penjawat awam tak ikut. Ini bukan kesalahan yang besar, cuma mereka buat kerja ikut cara sendiri (yang sudah terbiasa selama ini),” katanya.

Ubah atau diubah

Seorang lagi sumber di sebuah suruhanjaya persekutuan percaya daulah terpendam wujud dan katanya “ia jadi kuat kerana kepimpinan PH lemah”.

“Kalau tiada hala tuju untuk kakitangan awam, daulah terpendam ini akan cuba melindungi kepentingan mereka.

“PH cuba sorok kelemahan dengan menyalahkan daulah terpendam tetapi daulah terpendam ini sangat berakar umbi dan bukannya senang hendak dicabut.

“Daulah terpendam dan birokrat yang menyokong BN adalah dua perkara yang berbeza; daulah terpendam ini mereka yang mengaut untung yang banyak di bawah BN dan sampai sekarang masih menyokong (BN).”

Sebagai penyelesaiannya, menteri dan timbalan menteri mesti ada hubungan kerja yang baik dengan ketua jabatan, selain menunjukkan kepimpinan kepada penjawat awam dengan visi yang jelas dan konsisten, kata sumber.

“Gaya kepimpinan mereka akan jadi faktor penentu.

“Bagi kerajaan, institut latihan seperti INTAN perlu diaktifkan kembali fungsinya membuat sesi kursus untuk memahamkan penjawat awam semua peringkat mengenai asas dan polisi kerajaan baharu,” kata pegawai lantikan politik.

Pada akhirnya, PH mesti menunjukkan kepimpinan yang padu, tambah beliau.

Menteri juga mesti berhenti daripada menyalahkan “daulah terpendam” di khalayak umum, kata seorang lagi pegawai lantikan politik.

“Kalau selalu ulang benda sama, akan menyebabkan penjawat awam tidak puas hati. Menteri dan timbalan berhentilah ulang-ulang perkara ini,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.