https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rafizi, ‘lilin membakar diri menerangi yang lain’

Tanggal 9 Mei 2018 adalah tarikh keramat dimana rejim kleptokrat Umno dan Barisan Nasional hilang kuasa memerintah negara.

Sebuah gabungan terdiri dari empat buah parti pembangkang, KEADILAN, DAP, Amanah dan PPBM akhirnya berjaya menakluk Putrajaya dan diberi nama Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Rakyat berjaya disedarkan bahawa hak memangkah di atas kertas undi adalah kuasa mata pena terbesar milik rakyat sehingga tumbangnya rejim berusia lebih 60 tahun.

Maka ramailah dari kalangan pemimpin PH yang dipertanggungjawabkan dengan pelbagai jawatan penting. Menteri, timbalan menteri, setiausaha politik, para pegawai, pengarah-pengarah, dan pelbagai lagi jawatan lantikan politik bagi mengisi kemenangan.
Namun, adakah mereka itu benar-benar berjasa dalam perjuangan PH yang penuh onak dan duri sebelum tanggal 9 Mei 2018?

Di peringkat awal pembentukan PH, terdapat pelbagai rintangan dan cabaran yang harus ditempuhi para pejuang PH.

Tidak mudah untuk meyakinkan kesemua pimpinan keempat-empat parti bahawa dengan bergabung dan berganding, kita akan mampu menakluk Putrajaya.

Ramai pemimpin telah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi mencapai impian ini.

Ramai yang berjuang tidak kira masa, turun ke ceruk rantau bertemu rakyat demi meyakinkan bahawa agenda perubahan itu mampu dicapai.

Tidak kurang juga yang berasa tidak selesa dengan gabungan baru, maka pengkhianat-pengkhianat ini berusaha gigih menolak PH demi mengekalkan gabungan lapuk bersama PAS.

Mereka bukan sahaja menolak gabungan PH, malah mereka berusaha supaya gandingan lama dan lapuk itu terus berfungsi sehingga pilihan raya.

Dalam ramai-ramai pemimpin yang giat berusaha ke arah penyatuan, terdapat seorang pemimpin luar biasa yang bergerak lebih dari biasa demi merealisasikan impian melihat PH berjaya.
Beliau kini ibarat permata yang dilupakan – Rafizi Ramli.

Siapakah Rafizi Ramli?

Rafizi seorang pemimpin yang bersikap “humble” dan kelihatan marhain. Berkelulusan dari Morrison’s Academy, Scotland dan Leeds University dalam jurusan kejuruteraan, beliau berjaya menggondol Anugerah Arthur Crabtree 1997, Pelajar Terbaik Tahun Pertama Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik.

Mantan pelajar kolej berprestij Kolej Melayu Kuala Kangsar ini berjaya mendapat pelbagai anugerah sepanjang bergelar pelajar termasuk Anugerah Carey/Bolkiah, pelajar terbaik keseluruhan.

Kecemerlangan beliau diteruskan lagi ketika zaman membina kerjaya. Semasa berkhidmat di Jeffreys Henry Chartered Accountants, London (1999-2003), beliau lulus semua peperiksaan akauntan bertauliah dengan Institute of Chartered Accountants di England dan Wales (ICAEW) dalam masa dua tahun.

Beliau juga diterima sebagai ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA) pada 2003 apabila pulang ke Malaysia.

Rafizi kemudian meneruskan khidmatnya di Petronas/MTBE Malaysia Sdn Bhd pada 2003 hingga 2005 sebagai Pengurus Propane Dehydrogenation Plant, Pengurus termuda ketika dilantik. Beliau seterusnya mendapat kenaikan pangkat sehingga bergelar pengurus kanan (perakaunan, belanjawan dan percukaian antarabangsa) di Petronas Carigali Sdn Bhd pada 2007 dan menguruskan kewangan 51 anak-anak syarikat Petronas Carigali yang terlibat dengan operasi huluan di peringkat antarabangsa, membabitkan belanjawan tahunan melebihi RM20 bilion.

Kemudian beliau dilantik sebagai pengurus besar Pharmaniaga Bhd pada 2009 dan seterusnya berpindah kerjaya ke pejabat penasihat ekonomi Selangor sebagai pengurus besar.

Beliau yang sedang meniti kegemilangan kerjaya, akhirnya memilih untuk turun kelapangan berjuang demi rakyat dengan terjun ke arena politik.

Nama beliau tidak asing bagi para pejuang dan aktivis PKR.

Ketika krisis 1998 selepas Anwar Ibrahim ditangkap, Rafizi antara anak muda yang menyumbang ke arah kebangkitan rakyat ketika itu.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau adalah antara watak-watak penting di sebalik hebahan internet di zaman kebangkitan rakyat.

Berpengkalan di London, beliau berganding bahu bersama sahabat Anwar iaitu Rahim Gaus membina rangkaian di luar negara demi mengangkat perjuangan Anwar di mata dunia.

Kegigihan beliau membuahkan hasil apabila berjaya menyalurkan maklumat ke serata dunia walaupun dengan keterbatasan teknologi ketika itu.

Akhirnya pada 2010 setelah sekian lama bergerak di belakang tabir, beliau memilih untuk tampil dan berjuang bersama PKR.

Mengenali Rafizi

Kali pertama saya bertemu Rafizi adalah sekitar tahun 2010. Ketika itu saya bertugas sebagai salah seorang setiausaha kerja di Ibu Pejabat PKR.

Jujurnya ketika diperkenalkan oleh seorang sahabat ketika itu, saya tidak berasa minat melihat gaya dan perwatakannya yang agak biasa.

Saya terdidik dalam menghadapi arus politik berdepan dengan pelbagai demonstrasi dan kebangkitan, tentunya saya lebih teruja melihat sosok anak muda yang berperwatakan persis Ezam Mohd Nor, mantan ketua pemuda yang garang dan agresif.

Namun ketika itu saya masih tidak dapat melihat kualiti dan cahaya permata yang terdapat pada diri Rafizi.

Setelah sekian lama memerhati, akhirnya saya memilih untuk mendukung perjuangan dan idealisme Rafizi.

Saya mula memahami bahawa dalam perjuangan ini, sekadar garang dan agresif tidak mencukupi untuk mengangkat agenda rakyat.

Bagi saya peluang berganding bahu bersama Rafizi dalam perjuangan adalah pengalaman yang tidak ternilai.

Sepertimana saya yakin terhadap perjuangan Anwar, begitulah juga saya yakin kepada Rafizi.

Perjuangan Rafizi

Bermula 2010, Rafizi mula menyandang pelbagai jawatan dalam PKR.

Sebagai kakitangan ibu pejabat parti ketika itu, saya sering dapat mengikuti dari dekat pelbagai inisiatif dan strategi yang disusun oleh Rafizi untuk perjuangan parti.

Melihat cara beliau berjuang dengan pelbagai kaedah, saya mula tertarik dan yakin bahawa beliau mempunyai ketokohan dan kebolehan sebagai pemimpin.

Menjadi orang penting dalam pembentangan bajet alternatif setiap tahun, antara tugas sukar yang dipikul Rafizi demi mengangkat nama PKR.

Strategi yang beliau gunakan sering menarik minat rakyat. Sepanjang kempen ke arah PRU14, beliau menggunakan pendekatan untuk turun ke kawasan kubu Umno dengan mengheret trak dan peralatan pembesar suara berceramah ke seluruh pelusuk tanah air.

Tidak salah saya katakan bahawa beliau antara pemimpin PH yang paling banyak berceramah di peringkat akar umbi ke seluruh negara sebelum PRU14.

Tidak cukup sekadar itu. Beliau berjaya menghimpunkan sukarelawan pilihan raya terbesar seluruh negara di bawah gerakan yang diberi nama Invoke.

Melalui Invoke juga beliau tampilkan pelbagai kajian dan data yang hasilnya diterjemah pada PRU14.

Walaupun terdapat pemimpin PKR yang lebih berkuasa memegang tampuk kerajaan negeri ketika itu, namun tidak salah saya katakan bahawa Rafizi lebih kuat berusaha daripada mereka yang selesa di tampuk kuasa.

Seharusnya merekalah yang lebih gigih berbanding Rafizi kerana kuasa berada di tangan mereka. Tetapi kegigihan Rafizi jauh lebih menyerlah dan berkesan.

Di samping berceramah bertemu rakyat, beliau juga giat mengatur strategi di peringkat pimpinan PKR dan beliau juga memainkan peranan penting ke arah pembentukan PH.

Menjadi tulang belakang kepada Anwar dan Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika itu, beliau dan beberapa pimpinan lain seperti Nurul Izzah, Saifuddin Nasution Ismail, Johari Abdul dan ramai lagi, antara watak penting yang paling banyak berusaha mengubah landskap politik negara.

Beliaulah antara yang meyakinkan para pimpinan ke empat-empat buah parti bahawa dengan terbentuknya gabungan PH, kita akan mampu menakluk Putrajaya.

Walaupun ketika itu terdapat segelintir pemimpin yang menentang idea penubuhan PH, namun merekalah juga hari ini yang menikmati laba kemenangan hasil gabungan PH.

Tetapi tidak bagi Rafizi.

Walaupun setelah PH menang di peringkat persekutuan, beliau tetap seperti biasa tanpa sebarang jawatan penting di peringkat kerajaan.

Malah lebih sedih dari itu, beliau seakan dilupakan dari arus pemerintahan walaupun beliau begitu banyak menyumbang ke arah kemenangan PH.

Kadangkala saya merasakan yang kerajaan kini dalam kerugian kerana tidak memanfaatkan individu berkebolehan seperti Rafizi.

Pengorbanan dan jasa terbesar beliau adalah mendedahkan skandal salah laku National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Mengambil langkah berani dengan mendedahkan salah laku yang melibatkan pemimpin kerajaan Umno dan BN ketika itu, akhirnya menjadi bahan berita seluruh negara.

Skandal NFC menjadi penyumbang kepada kejatuhan BN selain skandal 1MDB dan beberapa skandal lain.

Namun kesan daripada langkah berani yang diambil Rafizi, akhirnya tidak membawa tuah kepada beliau walaupun menguntungkan banyak pihak.

Kes mahkamah berlanjutan sehingga kini dan hampir menghumban pejuang rakyat ini ke tirai besi. Kerana terikat dengan kes ini jugalah, maka beliau memilih untuk tidak bertanding pada PRU14 yang lalu.

Selepas PH berjaya membentuk kerajaan, Rafizi bukan sahaja tidak diberikan sebarang peranan dalam kerajaan, malah beliau terpaksa berhadapan dengan kes mahkamah yang masih membelenggu beliau.

Turun naik mahkamah menjadi rutin terbaru beliau dan perjalanan kes ini semakin sampai ke penghujungnya.

Berhadapan hukuman penjara 30 bulan adalah harga yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan.
Walaupun berhadapan waktu-waktu getir, beliau tetap berpesan kepada kami agar sentiasa mendukung dan meneruskan perjuangan reformasi yang menjadi tunjang kekuatan PKR.

Adakah ini kedudukan yang paling layak untuk beliau setelah memerah keringat? Adakah akhirnya penjara yang dihidangkan setelah menabur jasa?

Mungkin inilah adat seorang pejuang, menjadi lilin membakar diri menerangi yang lain.
Saya sentiasa berdoa agar selepas Anwar diperlakukan sedemikian rupa disumbat ke tirai besi, janganlah ada lagi pejuang rakyat yang melalui nasib sama.

Namun takdir bakal menentukan samada Rafizi akan mengikuti jejak langkah Anwar dihumban ke penjara demi perjuangan atau beliau akan diberikan tempat yang selayaknya dalam kerajaan.

Saya sentiasa berharap agar mahkamah memberikan pertimbangan yang sebaik mungkin.

Bagaimanapun jika keputusan itu tidak berpihak kepada Rafizi, saya berdoa agar beliau tabah dan kembali dengan lebih kuat di masa hadapan.

Percayalah bahawa rakyat akan sentiasa bersama dan mendukung para pejuang yang telah berkorban demi rakyat.

Syed Badli Shah Syed Osman adalah Naib Ketua Angkatan Muda PKR

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.