https://critoxium.com/shop/

Terkini

Apa yang Tg Piai serlahkan tentang politik Malaysia

Oleh Zin Mahmud

Apapun keputusan pilihan raya kecil (PRK) bagi kawasan Parlimen Tanjong Piai pada 16 Nov ini, tiga hakikat politik Malaysia dapat dikesan dan difahami.

Pertama, politik Malaysia adalah bersifat pelbagai kaum. Sebarang usaha untuk mewujudkan kekuasaan eksklusif Melayu-Islam tidak akan dapat diterima.

Kedua, kepimpinan politik Malaysia tetap terletak pada orang Melayu. Sebarang perspektif untuk menetapkan bahawa kepimpinan utama negara ini berbentuk inklusif mencakupi semua kaum tidak akan dapat diterima.
Ketiga, Malaysia Baru dalam erti kata yang sebenar tidak akan tercapai. Hanya sebahagian daripadanya dapat diwujudkan.

Walaupun persaingan dalam PRK Tanjung Piai adalah antara enam calon tetapi pertembungan utama tetap merupakan pertarungan Pakatan Harapan dan Muafakat Nasional, yang merupakan kerjasama antara Barisan Nasional dan PAS. Sementara Gerakan dan Berjasa cuba menarik undi orang yang menolak kedua-dua PH dan BN-PAS. Kedua-duanya adalah bekas anggota BN dan Berjasa merupakan sekutu PAS dalam gabungan Gagasan sejahtera yang kelihatan tidak berfungsi.

Di belakang persaingan PH-BN/PAS ini adalah perdebatan baru dalam politik Malaysia sejak dominasi Umno runtuh dengan kekalahan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 tahun lalu.

Kemenangan PH dan pemerintahannya ke atas negara ini dianggap sebagai satu era baru dalam politik Malaysia.

Malah apa yang disebut sebagai Malaysia Baru adalah sesuatu gagasan yang mengutarakan suasana politik negara, berbeza dengan semasa keadaan pimpinan Umno. Selain mewujudkan negara yang berintegriti, demokratik dan bebas, Malaysia juga mahu dijadikan bebas daripada unsur-unsur perkauman.

Tetapi sentimen banyak orang Melayu tidak bersama PH. Walaupun kemenangan PH adalah peralihan sokongan orang Melayu daripada BN tetapi majoriti orang Melayu tidak memilih PH. Mereka memilih sama ada Umno atau PAS. Dengan sokongan Cina-India padu pada PH, maka bilangan besar orang Melayu yang beralih menyebabkan BN kecundang.

Reaksi awal dari kekalahan BN ialah keluarnya parti-parti komponennya, dan tinggallah Umno, MCA dan MIC iaitu parti asal Perikatan. Dalam keadaan ini sebenarnya, BN tidak wujud kerana yang tinggal itu hanyalah parti-parti komponen Perikatan.

Perkembangan kedua ialah kerjasama antara Umno dan PAS, bermula dengan PRK paling awal selepas PRU ke-14 iaitu di kawasan DUN Sungai Kandis, Selangor. Naratif yang dibawa oleh kerjasama politik Umno-PAS adalah perjuangan untuk menegakkan pemerintahan Melayu-Islam.

Apabila orang Melayu-Islam bersatu di bawah Umno-PAS, maka kestabilan dapat diwujudkan dan dengan sendiri, orang Cina-India akan kembali pada BN. Maka MCA-MIC tetap bersama BN walaupun retorik Umno-PAS pasti tidak menyenangkan banyak orang Cina dan india.

Naratif bahawa kerajaan Malaysia hendaklah bertonggakkan Melayu-Islam disertakan dengan tuduhan bahawa PH adalah di bawah kemudi DAP, walaupun hakikatnya perdana menteri adalah dari PPBM dan majoriti kawasan pilihan raya diwakili oleh PKR. Naratif ketuanan Melayu adalah jelas menolak gagasan Malaysia Baru terutama dari sudut bebas unsur-unsur perkauman. Tindakan menolak ICERD dan Statut Rom adalah manifestasi sikap ini.

Kerjasama Umno-PAS berjaya diuji dalam PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau yang memperlihatkan kejayaan Umno mengalahkan calon PH – iaitu dari DAP, PPBM dan PKR. Atas kejayaan ini, Umno-PAS melangkah untuk menjadi pakatan Perpaduan Ummah yang diperluaskan kepada MCA dan MIC untuk menjadi Muafakat Nasional.

Gugatan Umno-PAS semakin matang iatu daripada Perhimpunan Menentang ICERD pada Nov tahun lalu hingga membawa kepada Kongres Maruah Melayu baru-baru ini. Naratif Melayu-Islam ini semakin mantap hinggalah apabila PRK Tanjung Piai hendak diadakan.

MIC boleh memberi laluan pada Umno di Cameron Highlands tetapi tidak MCA di Tanjung Piai.

Antara sebabnya ialah komposisi kaum di Cameron Highlands dan Tanjung Piai dari segi kekuatan Melayu juga berbeza. Bukan saja kedudukan MCA dan MIC berbeza, tetapi juga orang Cina dan India.

Maka retorik dan naratif Umno-PAS runtuh di Tanjung Piai. Pemerintahan Melayu-Islam semata-mata di Malaysia adalah ilusi. Dalam politik, orang Melayu tetap memerlukan undi Cina dan India untuk memerintah. Maka penekanannya adalah lebih pada Muafakat Nasional daripada Perpaduan Ummah.

PAS menghujahkan semula naratif politik. Retorik sepanjang setahun lebih yang lalu menjadi percanggahan yang memerlukan penjelasan semula. Mereka tidak menolak bukan Islam atau Cina.

Mereka cuma menolak DAP. Akhirnya kembali pada asal, seperti mula mengapa Umno di bawah Tunku Abdul Rahman menerima MCA dan MIC sedangkan ketika Onn Jaafar mahu membuka Umno kepada bukan Melayu, ahli-ahinya menolak mentah-mentah. Inilah salah satu daripada hakikat politik Malaysia.

Pada awalnya, Umno Tanjung Piai telah menolak calon MCA. Mereka mahu menang seperti mana calon BN di Cameron Highlands. Tetapi MCA bertegas dengan memberi kata dua. Menurut laporan MCA akan keluar dari BN jika calonnya tidak dipertandingkan. Jika MCA keluar, maka BN dikhuatiri akan hilang taraf pendaftarannya. Maka timbullah isu bahawa MCA adalah tonggak BN.

Tetapi hakikatnya ialah MCA bukan tonggak BN. Parti yang menjadi tonggak BN ialah PAS dan Gerakan. Sebelum penubuhan BN, ia didahului dengan kerajaan campuran Perikatan-Gerakan dan Perikatan-PAS. Ketika itu MCA tiada kerajaan negeri. Malah selepas pilihan raya tahun 1969, MCA mahu mengundurkan diri dari Perikatan. Terhadap Perikatan, sememangnya MCA dan MIC adalah tonggaknya. Apabila PAS dikeluarkan dari BN, maka gabungan itu tempang. Dengan keluarnya Gerakan dari BN, gabungan parti itu sudah dikira tiada. Apa yang ada sebenarmya wujud adalah Perikatan yang menggunakan nama BN.

Andai kata MCA keluar BN, gabungan parti itu tidak akan terbubar. Kerajaan PH tidak seperti BN. Dalam Malaysia Baru, seharusnya sesiapa bebas menubuhkan parti atau gabungannya tanpa sekatan. Namun apabila Umno akur terhadap tuntutan MCA, ternyata parti itu juga perlu mengambil kira kehendak MCA.

Hakikatnya mana-mana pakatan perlu mengambil kira tuntutan parti komponennya. Dalam keadaan ini, naratif bahawa PH dikemudi oleh DAP tidak dapat meyakinkan. Sama ada PH atau BN-PAS, mereka perlu mengambil kira suara parti bukan Melayu, sama ada DAP atau MCA-MIC.

Begitu juga, MCA-MIC dan DAP perlu menerima hakikat bahawa kepimpinan nasional negara terletak pada orang Melayu. Perkara ini tidak perlu disebut. Kata-kata dalam Kongres Maruah Melayu mengenai kepimpinan nasional Melayu juga tidak perlu dizahirkan. Hakikatnya Melayu tetap akan menjadi pemimpin utama negara. Ia bukan saja diterima oleh MCA-MIC tetapi juga DAP.

Walaupun sistem pakatan dalam BN dan PH berbeza iaitu Umno adalah dominan tetapi PPBM hanyalah salah sebuah parti yang setaraf dalam PH.

Pun begitu, semua pihak akur bahawa kepimpinan wajar dipegang oleh orang Melayu dari PPBM atau PKR. Itulah hakikat politik nasional yang tidak berubah. Apa yang penting adalah integriti dan prestasi penyandang jawatan politik apabila rakyat memberikan mandat.

Maka dalam keadaan ini, idealisme Malaysia Baru akan direalisasikan pada peringkat tengah, realistik dan sederhana. Walaupun integriti tetap perkara teras, tetapi kebebasan, demokrasi, hak asasi dan persamaan kaum tertakluk pada kerangka sensitiviti arus perdana rakyat Malaysia yang ditunjangi orang Melayu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.