https://critoxium.com/shop/

Terkini

PRK Tanjung Piai: 'Menyusahkan' - Tok Mat gesa arahan permit kempen dikaji semula

PONTIAN: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan meminta pihak polis untuk mempertimbangkan semula arahan bagi jentera parti politik mendapatkan permit untuk kempen dari rumah ke rumah kerana ia dilihat "menyusahkan."

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata arahan itu bukan sahaja memberi kesan kepada Barisan Nasional, malah ia juga akan menyusahkan Pakatan Harapan memandangkan arahan itu dikeluarkan ketika tempoh berkempen berbaki dua hari sahaja lagi.
 
Ahli Dewan Undangan Rantau itu berkata sejurus mendapat maklumat mengenai peraturan baharu itu, beliau terus berhubung dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun yang kemudiannya memaklumkan itu adalah arahan polis.

“Dia kata bukan SPR punya perundangan atau peraturan. Dia kata itu polis punya requirement. Sejak bila pula? Kalau nak buat macam ni (ceramah) perlu permit saya faham, kami faham dan kami hormat.
"Tapi kalau nak jalan rumah ke rumah nak dapatkan permit... dari masa mana lokasi pukul berapa itu dah menyusahkan,” katanya kepada pemberita di Pusat Daerah Mengundi Kampung Sawah, di sini, malam ini.

Pada pagi Selasa, Azhar dalam satu kenyataan media memaklumkan permit untuk berkempen dari rumah ke rumah kini menjadi satu keperluan sepanjang Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai ini.

Selain itu, katanya lagi, jentera parti perlu memaklumkan kepada polis mengenai program ‘walkabout’ yang dianjurkan kerana ia turut dianggap sebagai kempen bergerak.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata beliau mengharapkan agar polis mempertimbangkan semula arahan tersebut sambil memberi jaminan Barisan Nasional akan sentiasa menjaga tingkah laku ahlinya sepanjang tempoh berkempen.

“Saya minta supaya dipertimbangkan dan saya minta supaya Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) ambil maklumlah.

"Kerana saya dapati daripada jawapan SPR tadi, dia dari peringkat polis Pontian. Boleh jadi dapat arahan daripada Bukit Aman saya tak tahu. Itu lah jawapan.

"Kalau arahan dari Bukit Aman saya minta Bukit Aman pertimbangkan semula arahan tersebut,” katanya lagi.


Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.