Usaha, Doa, Tawakal, Orang Dalam
Oleh Adam Adli
Mungkin ramai yang bakal marah kalau dibilangkan kita ini adalah masyarakat yang bernafas dan menyambung hayat dengan akhirnya menghalalkan rasuah. Bunyinya menghina dan menjatuhkan maruah. Tambah memalukan lagi kalau saya bilang juga bahawa kerosakan ini bukan hanya berlaku dalam kalangan orang-orang besar – pemimpin politik dan tauke-tauke kaya seperti yang selama ini kita fikirkan. Ia adalah kerosakan yang sudah menjangkiti segenap pelusuk masyarakat.
Untuk sekian lama – sejak selepas merdeka barangkali, atau mungkin selepas 13 Mei, kita belum berjaya membentuk pemikiran atau ideolog yang berkesan buat masyarakat kita. Yang kita perkenalkan hanyalah dasar demi dasar atas nama kemajuan ekonomi. Dasar-dasar ini pula akhirnya tidak pun mencapai matlamatnya – menyebabkan jurang ekonomi yang ingin dirapatkan hanya semakin melebar, dan mendalam.
Harus difahamkan – apabila kita bicara tentang merapatkan jurang ekonomi terutama dalam kalangan masyarakat majoriti Melayu, kita sebenarnya sedang membuat sebuah permintaan besar. Masyarakat yang secara tradisinya selama ini selesa terlibat dengan agrikultur kini diminta mendekati dunia ekonomi – dunia pasaran yang berpaksikan pada persaingan dan keuntungan maksmima.
Bercucuk tanam, bekerja di bendang, dan turun ke laut kini bukan lagi untuk mengisi perut keluarga dan komuniti tempatan sendiri – tetapi untuk mengaut untung semaksima mungkin dari segenap sumber. Hal ini menuntut perubahan bukan hanya pada rajin atau malas seseorang itu bekerja – tetapi juga cara berfikir dan psikenya.
Kerja-kerja tradisi masyarakat Melayu dahulu tidak menuntut budaya persaingan – ia menuntut budaya kerjasama dan bergotong-royong. Pendedahan baharu kepada dunia ekonomi, perniagaan, dan pasaran menuntut budaya ini untuk digantikan dengan yang sebaliknya. Orang yang lebih selesa berpakat disuruh bersaing dan berlumba. Survival kini adalah untuk mereka yang paling kuat.
Begitu kerajaan terdahulu (dan sekarang juga) menyedari kalau budaya atau psike ini tidak mudah untuk diubah – banyak dasar dan bantuan atas nama bumiputera diwujudkan supaya masyarakat Melayu lebih yakin untuk terlibat dalam ekonomi, perniagaan, dan pasaran. Dari sinilah punca lahirnya sumpahan terbesar masyarakat kita – bukan hanya Melayu sebaliknya semua.
Masyarakat kita adalah masyarakat yang masih tebal budaya feudal. Kita cenderung mencari orang besar – pemimpin untuk dijadikan tempat berpaut. Dengan demikian, dasar dan bantuan oleh kerajaan ini dijadikan modal untuk politikus mengekalkan kuasa. Apabila didedah dan dicabar – naratif kaum akan dimainkan. Puluhan tahun kita berhadapan hal ini sebelum rejim dahulu dijatuhkan.
Disebabkan bantuan sebegini – yang hadir dalam bentuk kredit, tender dan sebagainya masih kebanyakannya datang dari kantung kerajaan – politikus makin berkuasa. Bukan sedikit yang mula mengambil rasuah dalam kalangan politikus, bukan sedikit juga yang memberi rasuah dalam kalangan orang yang sedang ‘berusaha keras’ ini. Perkara ini tidak lagi jadi rahsia. Selepas berpuluh tahun budaya ini bermula - semua orang akhirnya mula menerima – nak berjaya, perlukan usaha, doa, tawakal, dan orang dalam.
Hari ini, rasuah bukan benda asing lagi. Ia budaya subliminal. Rasuah muncul dalam banyak nama lain supaya ia boleh dihalalkan – orang kaya panggil komisyen, orang miskin panggil duit kopi.
Ada pengetua sekolah yang mengaku rindu pada wakil rakyat lama – kerana banyak beri bantuan walaupun tahu ianya hasil dari rasuah. Ada pemandu lori yang mahu mogok – kerana kerajaan tidak mahu memberi orang tengah (yang kerjanya hanya kutip duit kopi) uruskan permit dan lesen operasi.
Ada kontraktor kelas F mengamuk – bila pegawai kerajaan tak boleh lagi menerima hadiah terang-terangan.
Ye, sedar tak sedar – ada yang sedang marah kerana tidak boleh merasuah lagi. Kerana puluhan tahun ia melingkari budaya masyarakat kita – nak mengubahnya pula tidak lagi jadi mudah.

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.