https://critoxium.com/shop/

Terkini

Cadangan PPSMI belum dibawa ke Kabine

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, cadangan mewujudkam semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) belum dibawa ke Kabinet lagi.

Oleh itu, kata beliau, perkara tersebut belum lagi diputuskan Kabinet dan hanya cadangan Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Ia belum dibawa ke Kabinet lagi dan belum jadi keputusan rasmi kerajaan lagi,” kata Khalid dalam temubual dengan Jom Channel semalam.

Khalid menjelaskan, persoalan menteri Kabinet tidak berani melawan pandangan Dr. Mahathir Mohamad tidak berbangkit kerana perkara itu belum dibincangkan lagi.

Media semalam melaporkan konon kerajaan akan melaksanakan semula pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau PPSMI.

Dr. Mahathir sekali lagi dikatakan mahu pengajaran Sains dan Matematik dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

Bercakap pada mesyuarat khas di kementeriannya, semalam, Perdana Menteri berkata, penguasaan bahasa Inggeris adalah elemen penting dalam pendidikan.

“Geografi dan sejarah boleh diajar dalam mana-mana bahasa tetapi Sains dan Matematik bukan bidang pengetahuan pribumi, ia berasal dari luar negera.

“Kebanyakannya sampai kepada kita melalui bahasa Inggeris. Oleh itu, kita akan menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik. Ini bermakna kita tidak akan mengelirukan orang ramai.

“Kita dapati mereka yang belajar Sains dalam bahasa Melayu tidak boleh bekerja di mana bahasa Inggeris diperlukan,” katanya.

Ekoran itu, ada yang mendakwa para menteri Kabinet tidak berani bantah Dr. Mahathir sedangkan merekalah dahulu yang membantah PPSMI.

“Ada yang kata, menteri tak berani lawan Dr. Mahathir, dalam masa sama ada kata kerajaan dikuasai DAP.

“Yang mana satu sebenarnya, ini saya tak faham,” kata Khalid yang merupakan Pengarah Komunikasi Amanah. – WILAYAHKU

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.