Ini sebabnya SPV ambil alih aset TH
Oleh Dr Zaharuddin Abd Rahman
Saya akan cuba mengulas berkenaan keperluan memindah aset tidak untung milik Tabung Haji (TH) kepada syarikat tujuan khas (SPV) bagi tindakan jangka pendek dengan bahasa mudah dan difahami orang awam.
Menurut standard laporan kewangan (FRS), sesebuah syarikat harus mengisytiharkan kerugian jika nilai saham yang dibeli jatuh 20 peratus berbanding kos asal secara berterusan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan. Bagaimanapun, menurut Pricewaterhouse Coopers (PwC), TH sebelum ini menetapkan had ambang (threshold) 70 peratus untuk tempoh 24 bulan. Angka itu diubah dua kali pada 2017, kepada 85 dan 90 peratus.
PwC berkata jika had ambang ditetapkan pada 70 peratus, TH patut mengisytiharkan kerugian sebanyak RM1.313 billon. Jika pada 85 dan 90 peratus pula, kerugian patut diisytiharkan masing-masing sebanyak RM171 juta dan RM1 juta sahaja.
PwC berkata tindakan menyembunyikan kerugian ini dengan tujuan menunjukkan jumlah keuntungan yang cukup untuk membayar dividen pada 2012. Akta Tabung Haji 1995 tidak membenarkan pengagihan dividen ketika rugi. PwC berkata jika standard biasa dipakai (had ambang 20 peratus untuk tempoh 12 bulan), jumlah kerugian penuh ekuiti adalah sebanyak RM4.258 bilion.
Maka bagi merawat hal terbabit dengan segera, pihak TH memilih untuk memindahkan atau menukarkan aset tidak untung ini (sebagaimana klasifikasi yang ditetapkan oleh TH sendiri dan kaedah perakaunan) kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan.
Ini satu bail out
Pegangan Sukuk bertempoh matang tujuh tahun terbabit akan memberikan jangkaan pulangan sebanyak lima peratus setahun kepada TH berbanding aset tidak bagus sedia ada yang tidak memberikan apa-apa. Bagaimanapun RCPS-I yang bernilai RM 9.9 bilion tiada tarikh matang dan tiada dividen tetapi sentiasa terbuka untuk ditebus kembali oleh TH. Jika digabungkan kedua-duanya bererti untuk aset bernilai RM 19.9 bilion, TH bakal mendapat pulangan 2.5 peratus setahun.
Saya juga tidak lihat bagaimana mungkin Kementerian Kewangan akan ‘merampas’ aset tiada hasil itu di masa akan datang, Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc membawa agenda kerajaan, berbeza dengan syarikat yang sifatnya hanya mengejar keuntungan. Kecuali jika SPV di bawah MOF inc itu menjualnya kepada pihak ketiga. itu pun perlu diputuskan oleh kerajaan dan bukannya keputusan satu dua orang sahaja, khususnya jika aset terbabit adalah aset strategik.
Semua wang pendeposit turut dijamin oleh
kerajaan. Sebenarnya kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan
‘hampir’ boleh dikatakan sedang ‘bail out’ TH melalui dua instrumen ini. Orang yang tidak biasa isu kewangan mungkin menganggapnya sebagai pelik.
Aset
tidak bagus atau tidak menguntungkan TH dikenal pasti menerusi dua
kriteria. Bagi hartanah, ia membabitkan aset dengan hasil kurang dua
peratus dan bagi ekuiti, kemerosotan nilai melebihi 20 peratus. Justeru
jumlah nilai asset tersebut mencecah RM19.9 billion.
Pertama, ia menjadikan TH mungkin berpeluang mendapat keuntungan daripada pegangan sukuk sebanyak lima peratus setahun berbanding terjerat dengan aset tidak untung serta merosakkan tanggungan liabiliti dengan membesarkan jumlah impairment loss dalam laporan kewangan Tabung Haji.
Kedua, ia memastikan TH mampu memberikan dividen kepada pendeposit kerana tanpa pemindahan melalui terbitan dua instrumen patuh shariah itu, TH akan dikira dalam keadaan defisit dengan liabilitinya melebihi aset justeru - menurut aktanya - tidak boleh membayar dividen.
Jangan politik berlebihan
Kini model yang digunakan dan dibentuk di bawah MOF ialah dengan mengambil aset dengan ’bayaran’ sukuk dan RCPS-I sebagai balasan kepada TH. Ini tidak bermakna aset itu dimiliki oleh menteri kewangan, timbalannya atau mana-mana individu politik, tetapi dipegang oleh kerajaan Malaysia sendiri. Mungkin menjadi sebahagan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada masa akan datang juga.
Sebaiknya isu ini tidak dipolitikkan berlebih-lebihan (sedikit saja adalah natural kerana tiada apa yang dapat lari dari politik) kerana pihak TH sedang berusaha sungguh-sungguh membaik pulih lembaga itu yang sebelum ini dipegang oleh orang politik (dari kalangan ahli Lembaga Pengarah) sehingga kelihatan wujud campur tangan yang akhirnya mengurangkan kredibilitinya.
Semua ahli lembaga pengarah TH hari ini bukan dari kalangan politik dan cadangan pemindahan ke SPV di bawah MOF juga sefaham saya datang dari perbincangan lembaga Pengarah, PwC dan pengurusan tertinggi sebelum dibentang di Kabinet.
Sama-samalah kita berdoa agar tabung amanah untuk tujuan mulia - menunaikan ibadah Haji - ini semakin baik. Sudah tentu pihak pengurusan baru sedang melaksanakan tugasan sebaik mungkin bagi mengembalikan zaman keuntungan TH, misalnya ketika tahun 2013 dengan keuntungan bersih sebanyak RM 2.45 bilion setelah ditolak segala liabiliti dan penyesuaian.
Jika apa yang dijangka ini tidak berlaku dan TH menjadi semakin teruk dan dicerobohi pula secara politik, maka bolehlah dianjurkan bantahan ala Himpunan Kesyukuran Penolakan Icerd sekali lagi atau boleh juga diubah kerajaan yang ada melalui PRU ke-15 kelak.
DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid), pakar kewangan Islam dan profesor adjunct Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Unisel
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.