https://critoxium.com/shop/

Terkini

Adakah penyokong ‘Pengkhianat Nasional’ tidak marah?

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Senator Aiman Athirah Al Jundi membangkitkan persoalan sejauhmana kemarahan penentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan berterusan ekoran pelantikan empat menteri dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kesemua menteri tersebut adalah dari PH yang kemudiannya khianat menyokong kerajaan pintu belakang, Perikatan Nasional (PN) atau digelar ‘Pengkhianat Nasional’.

“Sebelum ini marah PH sebab tidak pandai jaga ekonomi dan tidak buat apa-apa untuk ringankan beban kos hidup rakyat.

“Nah, sekarang ini Menteri Hal Ehwal Ekonomi sudah selamat menjadi Menteri Kanan dan gembira bersama PN,” ujarnya.

Beliau merujuk pada pelantikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dalam Kabinet PH Sebelum ini, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Aiman Athirah turut menyentuh tentang perasaan penyokong kerajaan PN terhadap pengekalan jawatan bagi bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Zuraida yang telah dipecat PKR pada 24 Februari lalu bersekali dengan Azmin adalah Ahli Parlimen Ampang.

“Sebelum ini marah PH kerana tidak turunkan harga rumah dan jual harga rumah murah kepada pembeli asing dari China.

“Sekarang ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini sudah selamat dan gembira sekali lagi menjadi menteri yang sama di dalam PN,” katanya.

‘Kereta terbang’

Beliau juga menyindir pelantikan pemimpin Bersatu kem Muhyiddin, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas).

Dalam kerajaan PH lalu, Redzuan yang dikenali sebagai Pak Wan diserang penyokong pembangkang ketika itu ekoran cadangan projek ‘kereta terbang’.

Mulanya didakwa sebagai inisiatif pihak swasta tetapi kemudiannya didedahkan dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah menerima suntikan dana daripada kerajaan sebanyak RM20 juta menerusi Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).

“Sebelum ini marah dan ejek PH sebab nak buat kereta terbang.

“Nah, Sekarang menteri terbabit pun sudah berada dalam PN dan kini menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas,” sinisnya.

Seorang lagi yang sepatutnya dilihat mengundang kemarahan penyokong PN ialah pelantikan bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Saifuddin Abdullah sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

“Sebelum ini marah-marah PH tidak hormat Raja Melayu, hak istimewa Melayu dan Bumiputera terancam dengan sebab kononnya hendak ratifikasi ICERD dan Statut Rom.

“Sekarang ini Menteri Luar Negeri yang bertanggungjawab dalam hal ini sudah selamat terjun ke kapal PN, dan sekali lagi dilantik menjadi Menteri,” bidas Aiman Athirah lagi.

Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota dikenali berada dalam kumpulan ‘kartel’ Azmin dan menduduki jawatan Menteri Luar Negeri dalam pentadbiran kerajaan PH sebelum ini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.