https://critoxium.com/shop/

Terkini

FOMCA minta hentikan pembelian panik

KUALA LUMPUR: Pengguna perlu menghentikan segera pembelian panik terutama bekalan makanan, susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula esok hingga 31 Mac ini.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan sudah memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi, malah premis yang menjual barangan keperluan harian seperti pasar raya dan kedai runcit juga tidak ditutup.

“Saya harap pengguna mendengar apa yang dimaklumkan kerajaan dan tidak panik dengan membeli stok barangan terutama makanan secara berlebihan, seperti yang berlaku semalam.

“Pembelian berlebihan ini bukan saja akan menyebabkan pembaziran kerana terdapat makanan seperti roti yang ada tarikh luput, malah akan menyukarkan peniaga untuk menambah bekalan dalam masa yang singkat, sekali gus menyukarkan mereka yang benar-benar memerlukannya,” katanya

Semalam, orang ramai dilihat melakukan pembelian panik di pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka, dipercayai susulan khabar angin bahawa kerajaan akan melaksanakan perintah berkurung.

Bagaimanapun, malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok sehingga 31 Mac ini bagi membendung penularan COVID-19.

Katanya, perintah kawalan selama 14 hari itu membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya, selain semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Mohd Yusof berkata, khabar angin berkenaan yang disebarkan di media sosial mencetuskan kebimbangan sehingga menyebabkan orang ramai melakukan pembelian panik itu.

“Akhirnya malam tadi, Perdana Menteri sudah umumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dan perintah itu tidak menghalang kita daripada keluar rumah untuk membeli bekalan makanan.

“Justeru, kita perlu memahami secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan perintah berkenaan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi perintah supaya tidak berhimpun dan pergi ke tempat tumpuan ramai bagi mengelak risiko penularan jangkitan virus.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.