https://critoxium.com/shop/

Terkini

Umno tuntut MKN keluar panduan jelas, perbetul keadaan

Dua pemimpin tertinggi Umno menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan panduan lebih jelas berikutan kekecohan yang berlaku sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan tengah malam tadi.

Walaupun perintah itu bertujuan menghalang orang ramai daripada berkumpul sehingga berpotensi menyebarkan wabak Covid-19, keadaan sebaliknya berlaku semalam.

Orang ramai berpusu-pusu menyerbu pasar raya untuk membeli barangan, selain kesesakan trafik keluar dari Lembah Klang dan pelajar universiti menyerbu terminal bas untuk pulang ke kampung selepas arahan mengosongkan asrama dikeluarkan.

Orang ramai juga dilihat menyerbu balai polis untuk mengisi dokumen merentas sempadan, walaupun arahan itu dibatalkan oleh polis beberapa jam selepas itu.

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berkata, banyak pihak tidak faham sepenuhnya arahan tersebut termasuklah agensi pelaksana yang "terkial-kial mencari penyelesaian".

"Keadaan ini menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan resah," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertama, katanya, pihak berkuasa perlu memperhalusi dan membuat perincian mengenai kaedah pelaksanaan pergerakan antara negeri dan keluar masuk ke negara jiran.

Kedua, pentadbir universiti sepatutnya lebih prihatin keadaan pelajar yang kampung halamannya jauh dan pekeliling baru perlu dikeluarkan supaya pelajar tidak perlu berpusu-pusu mengosongkan asrama.

Ketiga, kerajaan perlu memberi satu panduan yang jelas mengenai operasi kedai makan, restoran dan warung (F&B) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Sekiranya terdapat pembetulan terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan, MKN yang baru sahaja mengambil alih krisis menangani Covid-19 mesti pantas dan bertindak segera memperbetulkan keadaan.

"Pasukan media MKN perlu agresif dalam menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat. Tidak perlu malu untuk melakukan pembetulan," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata rakyat tidak harus dipersalahkan apabila arahan mengelirukan dikeluarkan pihak berkuasa.

"Ramai pelajar universiti yang mengadu kafe di kampus ditutup. Tidak semuanya berkemampuan dan berkeupayaan untuk balik.

"Tidak wajar juga diarahkan kosongkan asrama. Mohon pihak universiti dapat segera bertindak. Fahami matlamat Perintah Kawalan Pergerakan!" katanya menerusi Twitter.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.