https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sikap tegas warga bantu bendung Covid-19

Oleh Jahabar Sadiq 

 SAMA seperti mengundi ketika PRU14, rakyat Malaysia kini tidak mempunyai pilihan selain memutuskan sendiri langkah seterusnya apabila wabak Covid-19 meningkat secara drastik dengan pengesahan 190 kes hari ini, menjadikan bilangan keseluruhan kes menjadi 428.

Lonjakan bilangan tersebut adalah dua kali ganda peratusan sejak 8 Mac, dan lonjakan hari ini merupakan yang tertinggi menjadikan Malaysia mencatat jumlah jangkitan positif tertinggi di Asia Tenggara.

Walaupun pentadbiran Muhyiddin melarang perhimpunan awam sehingga 30 April, namun kini pemimpin agama pula perlu membuat keputusan bagi menentukan apakah penetapan bagi solat berjemaah mingguan atau harian di masjid.

Sektor perniagaan pula perlu memutuskan sama ada untuk menutup perniagaan atau menutup premis syarikat mereka, atau bahkan meminta pekerja bekerja dari rumah selain mengambil cuti berbayar atau tidak dibayar.

Kesemua usaha ini adalah demi membendung kemaraan Covid-19, di samping perkhidmatan perubatan perlu segera mendapatkan kakitangan dan bekalan ubat mencukupi bagi menentang wabak yang kini merebak ke seluruh dunia.

Ini duduk perkaranya, sukar untuk anda menyaksikan Malaysia melaksanakan penutupan kawasan. Ia tidak pernah dilakukan untuk wabak-wabak lain sebelum ini seperti virus Nipah, SARS, MERS dan H1N1.

Ini bermakna rakyat Malaysia perlu membuat keputusan untuk mengasingkan diri, mengekalkan jarak sosial, jaga diri sendiri untuk tidak melakukan perjalanan sehingga mendedahkan diri mereka kepada koronavirus yang menjadi punca selesema baharu ini.

Kerana sekiranya mereka tidak mengambil sikap yang tegas, kita akan melihat lebih banyak perhimpunan besar-besaran yang memudahkan jangkitan virus berlaku - seperti hampir 300 orang yang dijangkiti ekoran menyertai acara Jemaah Tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling dari 28 Februari hingga 1 Mac.

Satu-satunya acara agama lain di dunia dengan jangkitan yang lebih besar adalah gereja Shincheonji di Korea Selatan yang mencatat 4,780 kes pada 13 Mac, atau 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di negara itu.

Malaysia jauh lebih bernasib baik kerana kira-kira 5,000 dari 16,000 orang yang menghadiri acara Tabligh telah menjalani ujian, tidak seperti gereja Korea Selatan yang berahsia dengan pihak berkuasa.

Hal tersebut menjelaskan bilangan kemungkinan jangkitan semasa di Malaysia namun ia masih membimbangkan lebih-lebih lagi kerajaan belum mengumumkan sekatan lanjut untuk perhimpunan agama besar-besaran tersebut.

Satu-satunya sekatan untuk acara lain ialah 50 orang tetapi tidak meluas ke pawagam, restoran dan tempat hiburan lain - tidak seperti Sepanyol dan Itali di mana hanya pasar raya dan farmasi dibenarkan untuk dibuka.

Jadi, sekali lagi diingatkan. Jangan tunggu kerajaan keluarkan apa-apa arahan lagi. Kehidupan anda dan orang tersayang anda kini bergantung sikap tegas anda mengambil langkah-langkah selamat membendung virus.

Asingkan diri anda, berdiam di rumah, jangan keluar kecuali perlu. Malaysia perlu bersikap tegas membendung penularan virus ini sekali gus membantu dan membolehkan kakitangan perubatan kita yang berani terus bertahan dengan tugas mereka demi memastikan tiada kehilangan nyawa akibat Covid-19 atau sebarang penyakit lain di mana pembedahan juga turut ditangguhkan berikutan wabak ini.

Rakyat Malaysia mengundi untuk perubahan pada 9 Mei 2018. Kini mereka perlu berubah untuk membendung virus yang menjejaskan perkhidmatan perubatan dan ekonomi kita jika dibiarkan tidak terkawal.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.