https://critoxium.com/shop/

Terkini

Langkah Sheraton jejaskan usaha Malaysia lawan Covid-19, kata bekas menteri

PERANG melawan Covid-19 di negara ini telah dijarah Langkah Sheraton yang menyebabkan kelewatan usaha selama dua minggu, kata bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Langkah Sheraton pada 23 Februari menyebabkan kejatuhan Pakatan Harapan sehingga menyebabkan tiada kepimpinan kerajaan dalam tempoh getir wabak itu muncul, kata Dzulkefly lagi.
Susulan “rampasan kuasa” itu, katanya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hanya dapat membentuk Kabinet baharu pada 9 Mac.

“Hanya dapat menubuhkan sebuah Kabinet pada 9hb Mac, sekaligus menyebabkan lebih dari 2 minggu pengurusan Covid-19, tidak punya kepimpinan politik dan strategik berbanding sebelumnya.
“Tidak dapat dinafikan kepimpinan KPK (Dr Noor Hisham Abdullah) adalah cemerlang dalam saat ‘Hari-Hari Kegelapan Politik Malaysia’ itu,” kata Dzulkefly di Facebook.

Tetapi, bekas menteri itu percaya ketiadaan kepimpinan itu menjejaskan usaha Malaysia memerangi Covid-19.

Pemimpin Amanah itu mengulas dakwaan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang menyalahkan kerajaan PH kerana gagal menghalang wabak Covid-19 daripada berlaku apabila himpunan tabligh Seri Petaling dibenarkan berjalan.

Dzulkefly bagaimanapun membidas dakwaan itu, kerana himpunan Seri Petaling berlaku pada hujung Februari selepas perletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad yang menyebabkan Kabinet bubar.
“Untuk meletakkan rekod yang tepat, perhimpunan di Masjid Seri Petaling itu bermula pada 28 Februari dan berakhir 3 Mac.

“24 Februari Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ini menyebabkan Jemaah Menteri juga melepaskan jawatan dan Dr Mahathir seorang dilantik sebagai perdana menteri interim.

“Kalaulah ada menteri yang lebih memaklumi kedudukan perkara perhimpunan Tabligh ini, pastinya beliau itu ialah Menteri KDN (dalam negeri), yang sekarang ini ialah perdana menteri ke-8.

“Menteri kesihatan (Adham) wajar bertanya beliau kalau ingin tahu letak duduk dakwaannya bahawa kerajaan PH gagal mengawal perhimpunan tabligh. Mungkin sahaja YAB PM-8 tidak perasaan, kerana ada agenda lebih serius yang mengganggu tumpuan kerja beliau ketika itu,” tulis Dzulkefly.

Disebabkan itu, Dzulkefly menyelar Adham dan mendesak menteri itu berhenti berpolitik ketika negara sedang berdepan wabak membunuh itu dan kesan ekonomi disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

“Lebih konstruktif seandainya beliau benar-benar menguasai realiti cabaran getir yang dihadapi negara mutakhir ini dengan menampilkan kepimpinan YB,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.