https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dr M lebih Machiavelli daripada Machiavelli

Oleh Ahmad Shabery Cheek

Bagi yang pernah membaca “The Prince” karya Machiavelli, karakter singa dan musang digunakan dalam menilai cara permainan politik seorang pemimpin.

Singa simbol kuasa. Musang simbol kepintaran. Singa kuat tapi mudah diperangkap. Musang tak boleh lawan singa tapi bijak melepas diri daripada perangkap. Pepatah musang berbulu ayam tanda pengiktirafan kepintaran musang dalam masyarakat kita.

Dr Mahathir Mohamad dikatakan memiliki kedua-duanya. Ada kala menjadi singa dan ada kala menjadi musang. Ketika berkuasa, tiada belas kasihan terhadap musuhnya. Lihatlah apa terjadi terhadap Anwar Ibrahim atau Najib Razak. Kedua-duanya dipenjarakan atau hendak dipenjarakan.

Perkataan sadis merujuk kepada orang mendapat kenikmatan daripada kesakitan orang yang diperlakukannya.

Anwar yang menderita dalam penjara, boleh terlupa sifat-sifat musang yang ada pada Tun M. Musang dilihat ayam. Dengan mudah termakan umpan janji jadi PM ke-8. PPBM hanyalah parti kecil. Simbol pun tidak ada. Anwar memberi segala-galanya untuk Tun M berkuasa buat kali ke-2.
Jelas, untuk berkuasa, parti tak perlu kuat. Pemimpin mesti pintar. Pintar mengatur langkah ke depan dan pintar mengatur perangkap untuk musuh politiknya.

Sebelum ini, ramai yg menganggap politik Anwar pun politik Machiavelli. Matlamat menghalalkan cara. Menari boleh, tazkirah pun boleh. Namun Tun M dikatakan lebih Machiavelli daripada Machiavelli. Walaupun tidak bertazkirah, beliau boleh menari. Lebih teratur dan lebih cantik.

18 Mei ini gerak langkah baru sedang diatur Tun M. Secara mata kasar untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin di Parlimen. Namun orang turut ingin melihat di mana kedudukan Anwar kali ini?

Menyokong Tun M lagi? Kalau ya, apa pula janji untuknya? PM lagi? Atau ada aturan baru? Kau PM, anak aku TPM. Atau Anwar ada langkah musang untuk memerangkap singa pula?

Seperti sinetron Korea, drama benci tetapi rindu keduanya sangat panjang. Bermula pada 1982 lagi. Sejak Anwar diajak Tun M bertanding di Permatang Pauh buat pertama kalinya. Anak yang dilahirkan pada tahun itu kini sudah berusia 38 tahun. Peristiwa hiba Anwar dipecat pada 1998 pun sudah lebih 20 tahun. Cerita ini sudah menjadi cetera agung. Ini bukan certot. Ini adalah epik yang tak berkesudahan.

Sekiranya tak bosan-bosan, sama-sama lah kita saksikan episod seterusnya…

Ahmad Shabery Cheek dalah bekas menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan bekas menteri Komunikasi dan Multimedia.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.