https://critoxium.com/shop/

Terkini

Saya bukan tolak PKPB, tetapi tidak mahu cetus masalah, kata KM Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal hari ini berkata, beliau tidak menolak sepenuhnya perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), tetapi bimbang perlaksanaannya secara terburu-buru akan menimbulkan masalah di negeri itu.

Oleh sebab itu beliau membuat keputusan untuk membuka semula sektor ekonomi Sabah secara berperingkat bermula 12 Mei, bukan 4 Mei seperti dikehendaki oleh Putrajaya.

Shafie berkata, terdapat banyak bidang yang perlu diteliti seperti kapasiti, kesediaan serta protokol dan prosedur kesihatan yang lebih difahami oleh kerajaan negeri berbanding Putrajaya.

“Kita tidak akan membuka kesemuanya. Realitinya kita tidak boleh membuka semuanya. Oleh sebab itu saya beritahu berikan kita masa. Kita juga sedar fasa ke-5 PKPB akan dilaksanakan.
“Tetapi perlu dilihat kesediaan kita untuk melaksanakan pendekatan yang sesuai dengan kemampuan di peringkat negeri.

PKPB fasa 4 dijadual berakhir pada 12 Mei ini.

Shafie berkata, tidak ada faedah membuka semua sektor ekonomi secara sekali gus kerana industri pengangkutan udara masih dihadkan.

Beliau berkata, keadaannya sama dengan pusat kuarantin. Sabah tidak mempunyai kemampuan untuk menangani kesemua 11,000 pelajar negeri itu yang balik secara serentak.

“Kita juga perlu memastikan terdapatnya doktor yang menanti ketika mereka balik. Bayangkan pusat kuarantin terbesar iaitu Kompleks Sukan Kota Kinabalu, hanya mampu menampung 100 pelajar.
Cukupkah?”

Ini katanya adalah antara sebab kenapa kerajaan negeri memutuskan supaya pelajar dikuarantin di rumah masing-masing, bukan di pusat kuarantin.

Justeru katanya, Putrajaya seharusnya berunding dengan negeri terlebih dahulu sebelum meneruskan rancangannya berhubung PKPB.

Berhubung isu pelajar yang berada di luar negara, Shafie berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana tidak mahu melakukan sesuatu yang bercanggah dengan rancangan kementerian.

Dalam pada itu, Shafie berkata, langkah membenarkan pergerakan antara daerah dan membolehkan kenderaan dinaiki lebih 2 penumpang terserah kepada polis.

Bagaimanapun beliau mahu pihak berkuasa mengambil langkah ketat di kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah.

Terdahulu, Shafie, bagi pihak 1,533 peserta Lembaga Pembangunan Tanah Sabah menerima bayaran dividen dan elaun sara hidup lebih RM1 juta.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.