https://critoxium.com/shop/

Terkini

DUN Sabah bubar untuk pilihan raya semula, kata Shafie Apdal

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan untuk pilihan raya semula, kata Mohd Shafie Apdal, sehari selepas bekas ketua menteri Musa Aman mendakwa pihaknya ada sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Menurut Shafie, beliau menasihat Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN dalam pertemuan mereka pagi tadi.

Pembubaran ini menamatkan teka-teki kedudukan Sabah sejak pertukaran kerajaan di Putrajaya melalui percaturan kerusi di Dewan Rakyat pada hujung Februari lalu.

“Saya telah berjumpa dengan Tun (Juhar) pagi ini dan atas kuasa Tun mengikut Perlembagaan Sabah, beliau bersetuju (untuk membubarkan DUN),” katanya dalam sidang media khas di Pusat Pentabdiran Negeri Sabah di Kota Kinabalu.

Jelas Shafie, beliau menyerahkan surat nasihat kepada Juhar dalam pertemuan mereka malam tadi, untuk membubarkan DUN.

Menurut Shafie, beliau akan menjadi ketua menteri sementara sehingga pilihan raya negeri diadakan dalam masa 60 hari.

Shafie membuat pengumuman itu selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil rakyat Parti Warisan Sabah pimpinannya dan wakil rakyat lain yang menyokong pentadbirannya.

Pilihan raya negeri ini akan mempertandingkan 73 kerusi berbanding 60 pada pilihan raya Mei 2018, selepas Dewan Rakyat meluluskan tambahan 13 kerusi pada Julai 2019.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.