700 ahli BERSATU Pekan umum keluar parti
Mereka memutuskan untuk memberikan sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan penubuhan parti baharu.
Bekas Ketua Cawangan BERSATU Kampung Mengkasar, Raja Khairudin Raja Abdullah, berkata mereka meninggalkan parti kerana tidak lagi yakin dengan kepemimpinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Matlamat utama penubuhan adalah untuk berlawan dengan Barisan Nasional (BN) dan menghapuskan rasuah tetapi apabila BERSATU bekerjasama dengan BN, kami rasa bersalah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Yang turut hadir, bekas Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Pekan, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin.
Tengku Zainul Hisham berkata pihaknya kini hanya menunggu borang keahlian untuk menyertai parti baharu.
"Kami sekarang akan membantu kempen Dr Mahathir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dan bersiap sedia untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang," katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.