https://critoxium.com/shop/

Terkini

PRK Slim wadah Pejuang 'test market'

Oleh Rohaniza Idris

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menjadi medan ujian kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad menguji sambutan orang ramai terhadap parti baharu mereka.

Penganalisis Politik dan Media Sosial dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy, berkata ini adalah satu perkembangan politik baru negara selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran selama enam bulan.

Katanya, beliau melihat usaha parti kumpulan Dr Mahathir yang dikenali PEJUANG itu sebagai 'test market'.

"Dr Mahathir sudah mempunyai pengikut tetap yang mana keadaan ini akan membuatkan undi orang Melayu berpecah. Kerusi ini dilihat panas dan bakal juga memberikan saingan hebat kepada calon Barisan Nasional (BN) sebagai cara menunjukkan parti itu ada sokongan.

"Ini percubaan pertama kumpulan Dr Mahathir menggunakan parti baru ini sebagai tiket untuk bertanding supaya rakyat buat penilaian melalui PRK," katanya mengulas kemungkinan pertandingan dua penjuru untuk PRK Slim pada 29 Ogos ini.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, pada 15 Julai lalu.

Kelmarin, kumpulan penyokong Dr Mahathir menamakan peguam syarie, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, sebagai calon manakala BN menamakan pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz.

Mengulas lanjut, Sara berkata, tindakan parti kumpulan Dr Mahathir adalah lebih kepada cubaan bersekongkol dengan blok pembangkang.

"Maka saya rasa rakyat membuat penilaian dan memilih yang terbaik," katanya sambil menambah BN tidak harus berasa selesa sehingga mengambil mudah saingan kali ini.

"Ini satu ujian buat PN kerana matlamat parti-parti pembangkang adalah menentang kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan PN," katanya.

Mengenai kemungkinan PH bakal meletakkan calon pada hari penamaan calon, Sara berkata, PH mungkin tidak meletakkan calon kerana matlamat mereka adalah sama dengan parti PEJUANG.

Dengan matlamat yang sama katanya PH percaya usaha itu dapat menguatkan strategi pembangkang.

"Jika mereka meletakkan calon PH maka ini akan menyebabkan PH berpecah kerana pada masa ini PEJUANG dikatakan sedang berunding dengan PKR.

"Semua sudah maklum bahawa kem Dr Mahathir ada masalah dengan PKR kerana isu penentuan siapa yang akan jadi Perdana Menteri.

"Jika isu ini tidak timbul sebenarnya PH lebih kuat," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.