https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bersatu perlu realistik tuntut kerusi pilihan raya, kata pemimpin Umno

PEMIMPIN Bersatu perlu lebih realistik dalam menuntut kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya umum akan datang dengan penyertaannya dalam Muafakat Nasional (MN), kata pemimpin Umno.

Naib Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata, Bersatu perlu sedar bahawa parti tersebut kini berpecah dua selepas pengerusinya Dr Mahathir Mohamad membentuk parti Pejuang.

“Kita harap sisa Bersatu selepas dirobek oleh Pejuang ini akan lebih realistik dalam perihal masa depan mereka dan harus bersetuju dengan kerusi yang lebih kecil dan munasabah dengan pembahagian kerusi masa pilihan raya.

“Kita berharap pilihan raya akan diadakan secepat mungkin untuk kebaikan Muafakat Nasional dan Bersatu, sebelum Dr Mahathir merobek dan melemahkan lagi Bersatu dengan lebih parah dengan tuduhan Bersatu bersekongkol dengan parti kleptokrasi,” kata Nur Jazlan lagi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa parti itu setuju menyertai MN.

Pada masa sama beliau mengalu-alukan penyertaan Bersatu untuk menjadi pelengkap PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada Dr Mahathir kerana tindakannya menubuhkan parti Pejuang mendorong kepada perkembangan itu.

“Terima kasih kepada Dr Mahathir Mohamad kerana dengan penubuhan Pejuang, untuk tentang kleptokrasi, ia mendorong Muhyiddin membawa Bersatu ke pangkuan MN.

“Bersatu ini mereka menjadi pelengkap kepada Umno apabila menyertai MN,” kata Nur Jazlan, kepada The Malaysian Insight.

Muhyiddin berkata Bersatu akan menyertai MN melalui siaran langsung perutusan khas sempena pemilihan Armada dan Srikandi Bersatu yang bermula hari ini dan esok.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Nik Mohamad Zawawi Salleh berkata, kenyataan Muhyiddin hari ini menunjukkan kesungguhan Bersatu untuk menyertai MN.

“PAS terbuka, dan Umno sudah tentu terbuka (terima Bersatu)... Insha Allah MN ini tiga parti. PAS tidak ada sebarang masalah,” katanya

Tambah Nik Zawawi, Bersatu juga belum mengemukakan permohonan rasmi berhubung perkara terbabit.

“(Bersatu) belum hantar (permohonan), bukan masalah hantar permohonan, kita akan bincang dalam Majlis Perunding Muafakat Nasional.

“Sebelum ini dah bincang tapi Bersatu belum ada kesungguhan waktu itu, sekarang nampak agak bersungguh. Semua orang suka, ini titik penyatuan ummah.”

Penyertaan Bersatu dalam MN itu akan menyaksikan tiga parti utama Melayu  dan Islam menjadi tulang belakang kerajaan memerintah.

Parti lain yang menyokong Perikatan adalah parti pemerintah Sarawak GPC, MCA, MIC dan beberapa parti di Sabah.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.