https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jangan ada Asri Janggut lain selepas ini

Minggu ini agaknya siapa paling tidak senang duduk? Adakah ia hanya membabitkan warga polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dan warga kerja di Majlis Badaraya Shah Alam (MBSA) sahaja?

Tidak kerana tauke mesin judi, tauke rumah urut dan peniaga rokok seludup sudah pasti turut berasa gundah-gulana. Gundah bukan setakat duit tidak masuk tetapi silap hari bulan kena angkut untuk bermalam di lokap.

Begitulah ‘kuasa’, dua klip video dimuat naik di Facebook pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid beberapa hari lalu yang masih didebat sampai hari ini.

Tindakan peniaga yang popular dipanggil Asri Janggut turut mengundang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turun ke Sungai Buloh meninjau keadaan sebenar.

Lebih bertuah Asri Janggut dijemput ke pejabat Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang memberi ruang kepadanya menceritakan masalah di kawasan tersebut.

Membaca penerimaan rakyat berhubung pendedahan Asri Janggut, dia bagaikan ‘hero’ yang ‘mengamuk’ selepas tidak tertahan dengan kejahatan demi kejahatan’ dilakukan oleh mereka yang diberi kuasa.

Pengalaman Asri Janggut mungkin berlaku di tempat lain. Namun belum ada yang sanggup jadi ‘hero’ atau mereka masih mempertahankan prinsip, ‘kalau kita hanya orang biasa-biasa tidak perlulah berlawan dengan mereka yang berkuasa, leceh kesudahannya’.

Bagaimanapun, dari satu sisi, kisah Asri Janggut ini sewajarnya membuka hati dan mata semua agensi penguat kuasa. Amanah ‘kuasa’ diserahkan kerajaan bukan untuk kepentingan diri sebaliknya buat kesejahteraan rakyat. Jadi elakkan ada lagi Asri Janggut lain selepas ini.

Jika ikut Asri Janggut, dia bukan sahaja telah membuat laporan mengenai jenayah judi, rokok seludup di IPD Sungai Buloh tetapi turut dipanjangkan ke Bukit Aman. Apa jadi dengan semua laporan Asri Janggut tersebut?

Nampak di sini, Asri Janggut tiada pilihan selain kembali kepada rakyat mohon bantuan rakyat. Rakyat tiada kuasa seperti penguat kuasa tetapi sebenarnya rakyatlah lebih ‘power’.

Terbukti menerusi kuasa rakyat tersebutlah empat penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga rokok seludup ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin.

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.