Catatan Teater Dari Parit Dua Barat
Oleh Dinsman
Ini catatan di sawah padi Parit Dua Barat, Sungai Besar, Sabak Bernam, menjelang lagi dua hari pementasan Uda&Dara. Petang Rabu itu hujan renyai-renyai sejak tengahari. Jadualnya ada latihan penuh. Tak dapat dibuat. Pemasangan lampu dan siaraya pun terpaksa dihentikan kerana hujan. Kebetulan pelakon pun ada yang belum tiba.
Aku nekad memulakan juga latihan, selepas azan isyak, walaupun masih ada rintik-rintik hujan. Lampu hanya dipasang untuk sekadar menerangi kawasan lakon sahaja. Alat-alat mikrofon untuk pelakon cuma dipasang satu dua orang sahaja.
Ku cuba adegan pembuka – gendang silat dan silat oleh lima orang pesilat muda dari Sungai Panjang, kampung berdekatan lokasi pementasan. Alhamdulillah, tak ada masalah. Adegan berikutnya belum dapat dibuat. Persiapan untuk menyalakan jamong belum selesai. Mikrofon lekap pada pelakon juga belum siap dipasang.
Rintik-rintik hujan berterusan. Apakah ini nanti akan menyebabkan aku demam, dan juga pelakon-pelakon? Ah, itu terserahlah kepada Allah. Kalau hendak didemamkan-Nya maka demamlah kami. Biarkanlah itu kepada Rahmah-Nya. Demi untuk pementasan, aku tidak ada pilihan melainkan membuat juga latihan walaupun di bawah hujan renyai-renyai.
Pemasangan mikrofon untuk dua pelakon utama Uda dan Dara belum juga dibuat. Aku tak boleh menunggu lagi. Ku minta mereka latihan juga, tanpa alat itu, sementara menunggu persiapan itu dan ini dibuat.
Apabila Lena Farida dan kru yang bertanggungjawab untuk memasang jamong sudah bersedia, aku pun ulangi adegan silat pembuka tadi. Selesai itu disambut oleh pukulan gendang untuk adegan berikutnya. Belum siap juga lagi pemasangan mikrofon untuk gendang berkenaan.
Ku teruskan juga dengan adegan menyalakan jamong, bermula jauh di tengah sawah. Ini baru pertama kali hendak dicuba. Ada 28 jamong semuanya dipacak memenuhi tanah bendang di belakang pentas. Utih akan berlari-lari di sana. Aku perlukan satu atau dua pancaran lampu spot untuk menampakkan sosok Utih berlari.
Rupa-rupanya ada masalah dengan hal lampu. Diminta 30 buah oleh Pengarah Artistik tetapi dijawab pihak pembekal mereka hanya boleh berikan 14 sahaja dan mereka hanya bawa enam sahaja. Aduh, tak ada pencahayaan untuk kawasan luas sawah padi tempat Utih akan berlari dan menjadi gimik pembuka Teater di Sawah Padiku?
Ah, jangan fikirkan itu lagi. Lihat dulu pemasangan jamong, bagaimana? Kami rancang akan pasang 50 jamong, tapi malam ini dicuba 28 sahaja. Ada tiga orang kru yang akan menyalakannya. Lihat berapa lama masa akan diambilnya. Kira-kira 10 jamong dinyalakan, aku minta Utih mula berlari. Dan sambil itu jamong terus dipasang.
Kemudian ku minta Utih deklamasikan sajak ‘Pak Utih’. Aku mahu suaranya didengar penonton jauh sayup di hujung bendang sana. Untuk itu perlukan speaker (pembesar suara) khas di pasang di tengah bendang. Yang rendah kualiti pun tak mengapa.
Kata pihak pembekal, tidak perlu, kerana itu akan membazir. Ia hanya digunakan sekali itu sahaja. (Dalam Teater Atas Pokok (TAP) aku adakan speaker khas di puncak pokok, khas untuk satu dialog yang penting. Membazirkah?) Mereka ada teknik untuk suara itu kedengaran seperti yang aku mahu, katanya. Tidak kedengaran di speaker biasa yang ada di depan penonton.
Aku minta ditunjukkan. Jawab mereka malam esok, kerana malam ini tak sempat. (Aku ada pengalaman pahit dalam TAP, dengan jawapan atau alasan yang sebegitu).
Namun alhamdulillah, adegan jamong nampak berkesan. Cantik. Bagaimana memadamkan jamong itu? Jangan fikir dulu. Teruskan dengan latihan yang lebih perlu. Berikutnya adegan silat dengan lagu pertama daripada 14 lagu dalam teater ini, lagu Sembah Pendekar.
Fairul Pujangga yang jadi Malim dalam adegan ini belum kelihatan. Ahad lalu dia sakit belakang dan pinggang akibat terjatuh waktu aksi melompat. Pagi tadi masih belum boleh berjalan. Tentunya dia belum sembuh. Kalau tidak pasti sudah ada, kerana dia memang berdisiplin bagus.
Latihan diteruskan tanpa Malim. Bunyi gitar terlalu bingit, tentulah akibat pemasangan sistem bunyi belum sempurna. Suara penyanyi Koir langsung tenggelam. Aku biarkan dulu. Dan gerimis masih mengusik. Pun ku biarkan saja. Jangan fikirkan soal demam. Mohon Allah memberkati kerja kami.
Dan latihan pun diteruskan, dalam keadaan yang serba tak memuaskan, di bawah rintik-rintik hujan gerimis. SM (Stage Manager/Pengurus Pentas) menjerit-jerit Light off dan Light on dan membilang 1, 2, 3, 4, 5 dan seterusnya setiap kali pertukaran adegan. Hingga waktu menghampiri jam 12 malam, pemasangan alat mikrofon lekap pada pelakon-pelakon masih belum siap.
Malam esok latihan penuh kostium (full dress). Dan aku mendengar jawapan/penjelasan daripada SM dan PM (Production Manager/Pengurus Produksi) dan Penolong Pengarah dan Pengarah Artistik mengatakan pihak berkenaan tak dapat buat itu malam ini dan akan buat malam esok. Dan aku pun mula kehilangan sabar.
“Apakah saya boleh tunda pementasan?” “Malam esok full dress. Malam ini saya latihan untuk apa kalau ‘lampu padam’ dan ‘lampu buka’ pun saya tak boleh buat?”
Saya berfikir, esok masih ada satu hari penuh siang dan malam untuk latihan. Lusa pun masih boleh buat latihan selepas jam 11.00 atau 12.00 malam, kalau perlu. Maka saya tamatkan latihan malam itu.
Fairul belum tiba. Watak Malim yang dibawanya itu watak utama. Mungkinkah saya bersedia dengan pelakon pengganti? Mesej mengatakan sakitnya belum sembuh dan dia belum mampu datang; tapi berharap dapat datang tengahari Khamis.
Gerimis nampaknya sudah berhenti. Tetapi gerimis di dalam diri saya berterusan. Bimbang, harap, cemas, yakin bercampur aduk. Segalanya adalah kemungkinan, dan tidak ada yang pasti. Dan saya tidak ada pilihan melainkan berharap dan bergantung kepada Tuhan.
Segala usaha dan ikhtiar sudah dilakukan. Memang tidak sempurna. Hanya Allah yang sempurna. Hanya Allah!
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.