Anggota
Parlimen Seputeh Teresa Kok mempersoalkan apakah Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) dipaksa untuk mengeluarkan “kenyataan separuh benar”
susulan kompaun RM1,000 yang dikenakakan terhadap Khairuddin Aman Razali
kerana melanggar perintah kuarantin.
Katanya, ramai rakyat
Malaysia yang terkejut dengan kenyataan KKM bahawa Menteri Perladangan,
Perusahaan dan Komoditi itu telah dikenakan kompaun itu pada 7 Ogos
lalu, dan dikatakan telah menjelaskan kompaun berkenaan.
Soal
Kok, pelanggaran kuarantin itu dibangkitkan olehnya di Dewan Rakyat pada
18 Ogos lalu, namun selama ini Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) Dr Noor
Hisham Abdullah hanya berkata KKM sedang menyiasat perkara berkenaan.
“Kenapakah
hari ini baru KKM memberitahu orang ramai bahawa kompaun telah
dikeluarkan kepada beliau dan beliau telah menjelaskan denda tersebut?
“Memang
tidak mungkin menteri dan KPK tidak tahu bahawa kompaun telah
dikeluarkan pada 7 Ogos dan Khairuddin telah bayar denda itu, tetapi
kena tunggu empat hari kemudian baru buat pengumuman,” katanya dalam
satu kenyataan hari ini.
Malah tambahnya, Khairuddin sendiri
seharusnya memberitahu tentang bayaran kompaun RM1,000 ketika disoal
pemberita, tetapi dia baru membuat pengumuman maaf dan pemotongan
gajinya hari ini.
“Jadi, adalah jelas kenyataan KKM hari ini dan
juga kompaun RM1,000 kepada menteri pada 7 Ogos 2020 dibuat atas arahan
ataupun paksaan daripada pihak atasan, sama ada kabinet ataupun MKN
(Majlis Keselamatan Negara),” kata Kok.
Kok turut mengungkit
kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada
13 Ogos lalu, bahawa sesiapa yang didapati sengaja ingkar perintah
kuarantin, tidak lagi akan dikenakan kompaun, tetapi akan terus
dihadapkan ke mahkamah.
“Persoalannya
ialah kenapakah semua pesalah dihadap ke mahkamah, tetapi menteri
kabinet ini diberi layanan istimewa dengan penjelasan kompaun RM1,000
yang diundur tarikh (backdated).
“Sekali lagi, rakyat lihat
layanan dua darjat berlaku dalam pelaksanaan perintah kawalan Covid-19.
Kemarahan rakyat adalah jelas ditunjukkan dalam Facebook KKM,” katanya
lagi.
Kok merupakan individu yang mula-mula membangkitkan
pelanggaran kuarantin Khairuddin di Parlimen pada 18 Ogos, mendakwanya
melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selepas melakukan
lawatan ke luar negara.
'Kenapa tak dibawa ke mahkamah?'
Mengulas
isu sama, peguam Haniff Khatri dalam satu klip video yang dimuat naik
di Facebooknya menyorot bahawa sejak penguatkuasaan kuarantin kendiri 10
Jun lalu, ramai orang awam telah dibawa ke mahkamah.
Dia memetik
beberapa kes seperti warga emas yang dihukum khidmat masyarakat selama
dua bulan manakala menantunya dikenakan denda RM2,000; kes “wanita
gelang pink” yang dikenakan denda sehari dan denda RM8,000; serta lelaki
di Balik Pulau yang dideda RM2,500.
“Persoalannya, kenapa dalam
kes Khairuddin ini, pihak pelaksana undang-undang walaupun terdapat
laporan polis terhadapnya, tidak membawanya ke mahkamah? Kenapa ada
perbezaan antara Khairuddin dengan orang awam?” soalnya.
Pada
hematnya, berdasarkan keputusan mahkamah sebelum ini, sekiranya
Khairuddin dihadapkan ke mahkamah, dia menjangkakan AJK PAS pusat itu
akan dikenakan hukuman sama ada penjara lebih daripada setahun mahupun
denda sekurang-kurangnya RM2,000.
“Jika hukuman tersebut dikenakan, maka Kharuddin sudah pastinya akan hilang kerusi sebagai ahli Dewan Rakyat,” katanya lagi.
“[...]
Kalau perkara-perkara ini yang diambil kira (untuk tidak membawa kes
Khairuddin ke mahkamah), maka memang kedaulatan undang-undang boleh
dikatakan telah dicabul dan diperkosa,” katanya lagi.
Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Haniff
juga mempersoalkan sama ada kerajaan sebenarnya bersekongkol untuk
tidak mendedahkan bahawa Khairuddin pulang dari luar negeri dan perlu
dikuarantin, untuk membolehkannya hadir di Parlimen pada 13 Julai.
"Dia
tidak pernah memakai gelang merah jambu itu, jadi mungkinkah kerajaan
merancang supaya tiada orang sedar? Jika ia sebenarnya dirancang, ia
merupakan penipuan besar terhadap parlimen," katanya.
Persidangan 13 Julai adalah sesi pertama parlimen kali ini yang masih berlangsung.
Pada
hari itu, kerajaan Perikatan Nasional memilih untuk menyingkirkan Mohd
Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat dan berjaya dengan 111 undi
berbanding 109.
Untuk rekod, kuarantin kendiri digantikan dengan kuarantin wajib di pusat yang ditetapkan bermula 24 Julai.
Rosakkan imej KKM
Ahli
Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi pula melihat hukuman dua darjat
oleh KKM itu akan menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak
boleh diharap dan mengamalkan campur tangan politik.
“Peliknya, kenapa KKM pula yang double standard (dua
darjat). Kenapa jumlah kompaun terlalu rendah dan amat tidak adil.
Kenapa musnahkan jenama KKM yang sudah hebat," soalnya dalam satu
kenyataan.
Katanya,
isu Khairuddin membabitkan dua isu besar, pertamanya melanggar
peraturan kuarantin 14 hari bagi mereka yang baru pulang dari luar
negara, dan keduanya jumlah kompaun yang disifatkan Puad sebagai “ikut
suka hati aku”.
“Akhirnya kerajaan PN akan dituduh dua kali lima. Ada campur tangan politik dan tidak boleh diharap.
“Sebab itu jangan gunakan KKM untuk cover line (menyembunyikan kesalahan). Khairuddin patut didakwa di mahkamah,” katanya lagi.
Khairuddin
yang merupakan anggota Parlimen Kuala Nerus dituduh melanggar perintah
kuarantin 14 hari yang dikenakan terhadap sesiapa yang baru tiba dari
luar negara, selepas pulang daripada lawatan ke Turki pada 7 Julai.
KKM
dalam kenyataan hari ini memberitahu Khairuddin dikenakan kompaun
RM1,000, setelah didapati bersalah menurut Peraturan-peraturan
Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam
Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan
Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
Kompaun itu dikatakan dikenakan pada 7 Ogos lalu.
Kenapakah semua pesalah dihadap ke mahkamah, tetapi menteri tidak ?
Reviewed by editorreformis
on
Ogos 23, 2020
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Demi Allah. Inilah pertama kali dalam hidup aku menangisi perletakan jawatan seorang menteri di Malaysia Ketat dada, sebak, dan akhirnya m...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.