Terkini

"Jangan tanya bila nak buat hudud" - Pas Kelantan

PENGKALAN CHEPA: Perwakilan Pas Kelantan hari ini menyeru agar semua ahli Pas memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu.
 
Menurut Datuk Hassan Mohamood, fokus utama Pas ketika ini bukan untuk merealisasikan perjuangan parti Islam itu ketika bergelar pembangkang, sebaliknya memperkasakan pentabiran kerajaan.
 
“Setelah menguasai negara kita baru ambil negara, maka kita perlu pelajari apakah keutamaan yang perlu kita laksanakan dengan erti kata lain, kita perlu mempelajari fiqh keutamaan.
 
“Jangan terpengaruh dengan suara-suara sumbang, atau dalam bahasa kasar, ‘suara syaitan’. Bila nak buat hudud? Ini jangan tanya (pelaksanaan hudud). Kita kena tanya apa yang patut kita buat sekarang?
 
“Agama asas, kerajaan pengawal dan kita baru ada pengawal (kerajaan). Kerajaan… kerajaan ini (ibarat) pagar. Jadi, sekarang kita kena buat apa? Kena kukuhkan pagar (kerajaan),” katanya ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-66, Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini pada Ahad.
 
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kerajaan PN ketika ini masih ‘tidak kukuh’.
“Pagar (kerajaan) kita masih bergoyang-goyang lagi…,” tambahnya.
 
Sehubungan itu, Hassan menggesa ahli Pas supaya menjalin perpaduan tanpa mengira agama dan bangsa.
 
Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Ucapan Dasar Presiden berkata, perpaduan ummah perlu terus dikekalkan dalam usaha mempersiapkan parti Islam itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
 
Pas sebelum ini begitu lantang terhadap perjuangan untuk melaksanakan hudud dan meminda Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.
 
PN mengambil alih Putrajaya pada Mac lalu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan untuk membentuk kerjasama baharu dengan Barisan Nasional (BN) dan PAS, dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.