https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pencemar alam sekitar patut tanggung rugi, kos pemulihan

Oleh Lukman Sheriff Alias

Sejak beberapa hari lalu, pelbagai pihak bertungkus-lumus menangani pencemaran kilang di Sungai Gong yang menyebabkan punca gangguan bekalan air di tujuh kawasan sekitar Lembah Klang, susulan penutupan empat loji rawatan air (LRA) di Sungai Selangor.

Dianggarkan 1.2 juta orang terkesan dengan keputusan bekalan air. Data menunjukkan sejak 2008, lebih kurang 50 peratus laporan gangguan bekalan air daripada jumlah keseluruhan 83,729 yang dilaporkan di Malaysia, berlaku di Selangor.

Kebanyakan kejadian berlaku disebabkan pencemaran sumber air iaitu sungai yang menyalurkan air mentah ke LRA.

Tahun lalu, negara dikejutkan dengan pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang menyebabkan pelajar sekolah mengalami gangguan kesihatan.

Dilaporkan, terdapat 274 kilang di sepanjang jajaran sungai berkenaan yang dikenal pasti menjadi penyebab masalah pencemaran sungai berkenaan sukar dikawal.

Berdasarkan pengalaman berkecimpung dalam bidang berkaitan bekalan air, penulis terangkan secara ringkas hubung kait badan yang terbabit dalam menyediakan air terawat kepada rakyat terutamanya di Selangor.

Air adalah bidang kuasa negeri dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjadi pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengawal selia semua sumber air negeri termasuk sungai.

Akta LUAS antara yang terbaik kerana ia akta contoh membabitkan perancangan dan tindakan bersepadu ramai pemegang taruh dalam sesebuah negeri.

Dari sungai, air akan diekstrak untuk dirawat dan diagihkan kepada penduduk. Operasi pengendalian rawatan dan pengagihan air ini dijalankan Air Selangor, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengawal selia Air Selangor.

Ini bermaksud pembekalan air terawat adalah bidang kuasa bersama negeri dan Persekutuan. SPAN tiada bidang kuasa ke atas mana-mana sumber air.

Berbalik isu sedia ada, kemarahan kita semua adalah kerana pihak yang melakukan pencemaran ini adalah pihak yang melakukan kesalahan sama berulang kali.

Justeru, apa tindakan boleh diambil dan bagaimana untuk pastikan ia tidak lagi berlaku?

Kita harus melihat kembali peruntukan dan penguatkuasaan undang-undang. Dilaporkan individu yang melakukan pencemaran ini pernah dikompaun RM60,000. Jelas kompaun sebegini tidak mencukupi untuk mencegah sesebuah kilang komersial yang mengaut keuntungan berkali ganda nilai itu daripada mengulangi kesilapan sama.

Di bawah undang-undang sedia ada, Seksyen 79 Enakmen LUAS memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pencemaran sumber air.

Akta Kualiti Persekitaran 1974 juga memperuntukkan nilai denda sama untuk kesalahan sedemikian atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Akta Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (WSIA) di bawah kawal selia SPAN, tidak mempunyai peruntukan pencemaran sumber air, kecuali pencemaran itu menyebabkan kematian kepada yang meminum air terawat atau berniat membunuh atau menggugat nyawa orang lain. Hukumannya berat iaitu gantung atau penjara 20 tahun.

Jelasnya, individu yang melakukan pencemaran mengulangi kesalahan kali kedua dan seterusnya tidak wajar lagi ditawarkan kompaun. Pendakwaan patut dibuat dan biar hakim tentukan sama ada penjara itu sesuai ataupun tidak.

Namun, persoalannya sama ada denda RM100,000 itu cukup. Kalau dibandingkan peruntukan jenayah lain, nilai denda itu boleh dikatakan berat, namun tidak mencukupi apabila kelakuan seseorang boleh membuat lebih sejuta rakyat merana.

Pelbagai perbelanjaan lebihan rakyat kena tanggung seperti terpaksa membeli makanan daripada memasak untuk menjimatkan air dan basuhan.

Pembelian air minum pun mungkin meningkat. Sesetengah pula terpaksa berpindah sementara ke kawasan yang ada air. Tidak adil kalau pencemar tidak menanggung ini. Bayaran kompaun RM60,000 tidak setimpal.

Air adalah hak asasi seluruh manusia. Ketetapan resolusi 64/292 Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 28 Julai 2010, menyeru semua negara memastikan bekalan air yang selamat, bersih, mudah didapati dan murah kepada orang ramai.

Tambahan pula Léo Heller, pelapor khas PBB yang datang menilai aspek air dan sanitasi Malaysia pada 2018, menyatakan dari sudut bekalan dan sanitasi Malaysia mempunyai pencapaian yang mengagumkan.

Justeru, sudah tiba masanya kita cuba perluaskan lagi konsep polluter pay principle iaitu mereka yang mencemar, membayar ke atas semua hukuman untuk pencemaran di bawah beberapa undang berkaitan.

Setiap rakyat yang melakukan pencemaran perlu faham bahawa kegiatan mencemari alam mereka bukan sahaja memberi kesan buruk kepada alam sekitar, tetapi kepada ramai rakyat lain termasuk anak cucu kita.

Rakyat mesti tahu kesalahan pencemaran suatu yang berat dan perlu dijadikan contoh. Maka, selain denda dan penjara, setiap yang melakukan pencemaran harus bertanggungjawab ke atas setiap kos pemuliharaan yang ditanggung oleh semua pihak berkuasa dalam memulihkan pencemaran.

Pihak berkuasa seperti LUAS juga perlu dibenarkan mengambil tindakan civil class action bagi pihak yang mengalami kerugian. Satu proses perlu diwujudkan supaya bukti berkenaan dapat dikumpul dengan mudah agar tindakan undang-undang yang setimpal boleh diambil.

Apa yang boleh dituntut juga diperjelaskan. Ini akan membuat kesalahan mencemar dapat dicegah dan tuntutan dibuat dapat mempertingkatkan sistem pembersihan yang jauh lebih sempurna dibina.

Penulis adalah Peguam dan Pengerusi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.