Kerajaan bersedia
mempertimbangkan cadangan dan kewajaran menubuhkan suruhanjaya siasatan
diraja (RCI) bagi meneliti pelbagai isu yang dikaitkan dengan Lembaga
Tabung Haji (TH).
Demikian dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad, baru-baru ini.
Sudah
tentu orang yang wajar dan cakna akan kebajikan pendeposit TH
mengalu-alukannya. Cuma harus ditekankan, RCI itu harus luas sifatnya.
Biar diadakan bagi menyemak pelbagai isu TH, bukan hanya ditumpukan
kepada kes penjualan aset-aset lembaga itu sahaja.
Sekali lagi
kita tegaskan, jika kerajaan benar-benar hendak 'membersihkan' TH, RCI
berkenaan tidak boleh hanya bertumpu kepada penjualan aset-asetnya oleh
kerajaan sebelum ini.
Kita
perlu melihat gesaan mengadakan RCI itu bukan hanya melunaskan dendam
politik pihak tertentu sebaliknya demi kepentingan umum dan menyeluruh.
Umum
percaya, jika siasatan menyeluruh dilakukan terhadap semua transaksi TH
sebagaimana disebut oleh Zulkifli itu menjadi kenyataan, ada
kemungkinan beberapa isu lain akan terdedah serta memerlukan tindakan
drastik untuk memperbetulkannya.
Justeru, salah satu isu yang
wajar diberi perhatian - tidak kira sama ada RCI dibentuk atau tidak -
ialah berkaitan pelaburan TH dalam syarikat tertentu yang tidak
mendatangkan keuntungan. Ia wajar dilakukan demi menjaga nama baik TH
sebagai agensi pengurus ibadah haji yang ternama.
Kenapa perlu
membangkitkan persoalan mengenai pelaburan TH? Ya! Sudah lama benar TH
terbabit dalam sektor pelaburan, khususnya domestik.
Milik semua umat Islam
TH
menyatakan tujuan pelaburan ialah bagi menjana pulangan dan keuntungan,
hasil daripada memegang ekuiti dalam syarikat tertentu.
Perlu
diketahui, benarkah setiap pelaburan yang diluluskan oleh pihak
pengurusan atasan TH itu dibuat setelah kajian teliti dilakukan oleh
Bahagian Portfolio Ekuiti (Domestik dan Asing) dan Bahagian Portfolio
Pendapatan Tetap TH?
Dalam hal ini, ada musykilan muncul - kenapa?
Jawabnya,
kerana ada agensi lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dikatakan enggan mengeluarkan dana
melabur dalam syarikat tertentu, tetapi pada masa sama TH bersedia
menyertai syarikat itu.
Perlu diingat, TH milik umat Islam. Segala
urusan dan kepentingannya hendaklah mengikut syariah dan mengutamakan
umat Islam terlebih dahulu.
Maka, tidak wajarlah sekiranya TH
menjadi tempat mana-mana pihak, untuk mendapatkan dana bagi melaksanakan
projek syarikat mereka.
Timbul
juga persoalan: apakah pelaburan yang disertai TH benar-benar menjana
pendapatan, atau pegangan ekuiti dalam sesebuah syarikat yang sentiasa
mencatat kerugian itu hanyalah satu tanggungjawab sosial korporat demi
kelangsungan politik?
Atau, penyertaan TH dalam syarikat tertentu
yang sentiasa tidak mencatat keuntungan itu, dibuat selepas 'dipaksa'
pihak tertentu?
Boleh jadi juga Bahagian Portfolio Ekuiti
(Domestik dan Asing) dan Bahagian Portfolio Pendapatan Tetap TH gagal
membuat penilaian yang tepat, atau broker memberi laporan tidak tepat.
Pada
25 Ogos lalu, TH mengeluarkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan 2018
yang diaudit.
Walaupun susut 53 peratus berbanding tahun sebelumnya,
laporan itu menyatakan TH meraih keuntungan bersih selepas zakat
sebanyak RM1.6 bilion.
Kos subsidi dan dividen
Ini
sesuatu yang baik, namun, kita bimbang kepada laporan mengatakan
sembilan daripada 13 syarikat - yang pegangan ekuitinya turut dimiliki
TH - mencatatkan penurunan harga.
Sebanyak 69 peratus daripada syarikat yang TH menjadi pemegang saham utama mencatatkan penurunan harga bagi tahun ini.
Kita
tidak mempertikaikan usaha TH untuk menambah pendapatan menerusi
aktiviti pelaburan, sama ada domestik atau luar negara. Tetapi, TH
sepatutnya peka terhadap turun naik harga pasaran ekuiti semasa.
Sewajarnyalah
TH menilai semula pegangan saham dalam syarikat yang tidak
menguntungkan dan tidak dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam. Dengan
perkataan lebih mudah: jual mana-mana pegangan dalam syarikat yang tidak
memberi keuntungan.
Bagaimanapun, memang diakui TH memperoleh
pendapatan yang baik menerusi pelaburan dalam beberapa sektor. Hasil
daripada pelaburan itu jugalah yang digunakan oleh TH untuk menanggung
kos subsidi haji lebih RM306 juta setahun, dan memberi dividen kepada
pendeposit.
Ini
jelas dinyatakan TH bahawa mereka meraih pendapatan pelaburan sebanyak
RM1.55 bilion dalam tempoh separuh pertama tahun ini, disokong pelaburan
dalam pasaran sukuk dan saham.
Pelaburan aset pendapatan tetap
menyumbang sebanyak RM1 bilion iaitu 65 peratus daripada jumlah
pendapatan pelaburan TH bagi tempoh Jan hingga 30 Jun 2020.
Menurut
TH, pelaburan hartanah menjana pendapatan RM204.57 juta, manakala
pelaburan instrumen pasaran wang Islam menyumbang sebanyak RM187.13 juta
dan RM150.27 juta pula daripada pelaburan ekuiti.
"Peningkatan
pendapatan ini telah menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM1.25
bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh enam bulan yang sama pada
2019. Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion pada
30 Jun 2020," kata kenyataan TH.
Sehingga 30 Jun lalu, TH terus mendapat sokongan umat Islam Malaysia sehingga jumlah depositnya mencecah RM73.86 bilion.
Kita
masih kabur mengenai syarikat berkenaan, termasuk syarikat usahasama
yang membabitkan TH dan gergasi korporat sejak lebih 10 atau 20 tahun
lalu.
Bukan penjualan aset saja
Sebagai
pendeposit, kita tertanya-tanya berapakah jumlah pelaburan yang dibuat
oleh TH? Kita harap TH dapat menyenaraikan dengan lengkap pelaburan yang
telah dibuat, termasuk syarikat usahasamanya.
Adakah TH memperoleh untung kekal daripada usahasama itu?
Contohnya
pembabitan TH dalam Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) yang diberi konsesi
pada 25 Ogos 1997 untuk membiayai, merancang, membina, mengendalikan
dan menyelenggara perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, dan
aktiviti sampingan lain yang berkaitan dengan perkhidmatan kereta api
selama 30 tahun.
Pemegang saham ERL adalah YTL Corp Bhd, TH, SIPP
Rail Sdn Bhd dan Trisilco Equity Sdn Bhd dengan pegangan masing-masing
sebanyak 45 peratus, 36 peratus, 10 peratus dan 9 peratus.
The
Edge Market pernah melaporkan bahawa ERL menanggung beban hutang
berjumlah RM2.8 bilion kepada Bank Pembangunan Malaysia Bhd. Pastinya,
ini juga akan memberi kesan kepada TH sebagai pemegang saham utama dalam
ERL.
Mengambil contoh pelaburan dalam ERL itu, kita berharap TH
dapat memberi penjelasan lengkap terhadap pelaburan yang disertainya
dalam pelbagai sektor, sekali gus mampu menjawab persoalan orang ramai,
khususnya pendeposit.
Ini kerana, saban tahun pulangan pelaburan
TH akan menentukan dividen kepada pendeposit selain dana bagi menampung
kos subsidi jemaah haji.
Namun, seperti yang ditegaskan dari awal
lagi, jika kerajaan bersetuju menubuhkan RCI, suruhanjaya itu tidak
sepatutnya hanya menyiasat penjualan aset sahaja.
Siasatan hendaklah dilakukan secara menyeluruh, termasuk untung rugi di sektor pelaburan dan langkah yang perlu diambil.
RCI Tabung Haji usah ditumpu pada isu jual aset saja
Reviewed by editorreformis
on
September 15, 2020
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Dakwaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berhubung cadangan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan t...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.