https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anwar dakwa ada sokongan, tidak kemuka senarai nama, kata Istana Negara


 PENGERUSI Pakatan Harapan Anwar Ibrahim tidak menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong senarai nama ahli Dewan Rakyat yang beliau dakwa menyokongnya untuk membentuk sebuah kerajaan baharu, kata Istana Negara.

Ketua pembangkang sebaliknya mengemukakan jumlah mereka yang menyokongnya dalam pertemuannya dengan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau. 

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut,” katanya, dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas Anwar selesai mengadakan sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur, setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Ahmad Fadil, pada pertemuan itu, Al-Sultan Abdullah juga menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Ahmad Fadil sekali lagi mengulangi pertemuan Anwar dan Yang di-Pertuan Agong pagi ini adalah lanjutan sesi menghadap yang sepatutnya berlangsung pada 22 September lalu.

Sesi itu ditangguhkan selepas Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke Institut Jantung Negara untuk rawatan sehari sebelumnya.

Al-Sultan Abdullah dirawat kerana keracunan makanan dan kemudian menjalani rawatan intervensi susulan pengimejan MRI yang menunjukkan kecederaan akibat bersukan.

Baginda berangkat  pulang ke Istana Negara pada 3 Oktober.

Anwar dalam satu sidang media pada 23 September berkata beliau sudah mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu di Putrajaya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.