Pemimpin komuniti tidak sokong GPS harus letak jawatan
KUCHING: Seorang pembantu menteri Sarawak mempertahankan pendirian penyokong kerajaan bahawa pemimpin komuniti mesti menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tasik Biru, Henry Harry Jinep sebelum dikecam pemantau pilihan raya Bersih 2.0 berhubung kenyataannya bahawa pemimpin komuniti, termasuk yang berada dalam jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) mesti menyokong GPS atau meletak jawatan.
Namun begitu, Penguang Manggil, pembantu menteri kerajaan tempatan dan perumahan berkata, pendirian Henry betul kerana pemimpin komuniti dilantik oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, pemimpin berkenaan mewakili kerajaan dan berperanan sebagai jambatan antara kerajaan negeri dengan rakyat dan menerima elaun atas peranan itu.
“Mereka mesti berada dalam kapal yang sama dengan kerajaan (negeri). Jika sebaliknya, maka adil jika mereka meletak jawatan. Ini juga bererti mereka perlu mengundi GPS,” beliau memberitahu FMT.
Bagaimanapun, pengerusi Bersih 2.0 Sarawak Ann Teo tidak bersetuju, dengan berkata, walaupun pemimpin komuniti dilantik kerajaan negeri untuk mengongsi dan mempromosi dasar kerajaan dan maklumat, mereka tetap boleh mengundi sesiapa yang mereka ingini.
“Kalau beliau (Henry) tidak dapat membezakan antara ‘kerajaan’ dan ‘parti politik’, maka beliau harus lebih membiasakan diri dengan nilai dan jenis demokrasi yang diamalkan di negara ini,” katanya.
Aktivis Sarawak Peter John Jaban berkata, adalah salah untuk menjangkakan pemimpin komuniti menyokong GPS disebabkan jawatan mereka dalam kerajaan negeri.
“Pemimpin komuniti tidak harus memihak, biarkan mereka jalankan tugas.”
Ketua penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata, parti politik tidak harus campur tangan atau memberitahu pemimpin komuniti supaya mengundi GPS atau mana-mana parti politik, dengan menambah bahawa JKKK adalah sebuah entiti yang bebas politik.
“Betul, mereka menerima wang (elaun) daripada kerajaan, tetapi ia adalah duit rakyat, bukan duit GPS,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.