https://critoxium.com/shop/

Terkini

2 bilion dos vaksin diagih ke negara miskin - UNICEF


LONDON: Hampir dua bilion dos vaksin COVID-19 akan diedarkan menerusi operasi berskala besar dengan menggunakan kapal dan pesawat ke negara membangun, tahun depan.

Pengarah Bahagian Bekalan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Etleva Kadili, ketika mengumumkan perkara itu berkata usaha sedemikian akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan 350 syarikat penerbangan dan perkapalan.

Katanya, bekalan kepada negara miskin seperti Burundi, Afghanistan dan Yaman itu antara lain merangkumi vaksin dan satu bilion picagari menerusi pelan peruntukan vaksin global, COVAX.

"Kerjasama tidak ternilai ini berupaya memberi manfaat jangka panjang dalam memastikan kita mempunyai kapasiti proses penghantaran yang mampu menampung operasi berskala besar-besaran," katanya dalam kenyataan.

COVAX, yang diterajui bersama antara Pakatan Vaksin Global (GAVI), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Gabungan Inovasi Persediaan Epidemik sebelum ini mengusulkan beberapa perkara.

Ia merangkumi gesaan supaya tiada tindakan 'membolot' vaksin COVID-19 dilakukan mana-mana negara, selain tekad untuk mengutamakan pemberian imunisasi kepada golongan berisiko.

Pada Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) minggu ini, pemimpin dunia berjanji untuk memastikan pengagihan vaksin COVID-19 dibuat secara saksama dan berupaya diperoleh pada harga berpatutan.

Langkah itu bagi memastikan tiada negara tercicir daripada program imunisasi berkenaan, khususnya yang mempunyai taraf sosioekonomi lebih rendah.

Kadili berkata usaha bersepadu wajar dijalin pelbagai pihak bagi menjayakan operasi penghantaran dua bilion dos vaksin dan beberapa peralatan perubatan berkaitan.

"Kita memerlukan pertolongan semua pihak tatkala persiapan mengagihkan dos vaksin COVID-19, picagari dan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan hampir 100 negara ini giat dijalankan," katanya. - AGENSI

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.