https://critoxium.com/shop/

Terkini

Arab Saudi nafi runding perjanjian dengan Israel


BAITULMAQDIS: Media Israel dan sumber kerajaan melaporkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengadakan mesyuarat penting di Arab Saudi, bersama Putera Mahkota Mohammed Salman, namun dinafikan oleh Riyadh.

Laporan berkenaan mencetuskan spekulasi Israel semakin menghampiri usaha memulihkan hubungan bersama Arab Saudi selepas memeterai perjanjian bersejarah bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang dipelopori Amerika Syarikat (AS), pada September lalu.

Stesen penyiaran Israel, Kan dan beberapa media lain melaporkan Netanyahu dan ketua agensi perisik Mossad, Yosef Meir Cohen bertemu pemimpin de facto Arab Saudi, Putera Mohammed bersama Setiausaha AS, Mike Pompeo di bandar futuristik Laut Merah, NEOM pada Ahad.

Sumber Israel yang enggan dikenali mengesahkan pertemuan berkenaan kepada AFP.

Bagaimanapun, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan menafikan sekeras-kerasnya laporan berkenaan, yang mendakwa, Arab Saudi kekal dengan pendirian dipegang sejak berdekad lalu iaitu enggan mengadakan sebarang rundingan bersama negara Yahudi itu, selagi konflik bersama Palestin tidak diselesaikan.

"Saya sudah melihat laporan berita mengenai mesyuarat yang kononnya diadakan antara Putera Mahkota dan pegawai Israel, ketika lawatan Pompeo.

"Tiada mesyuarat seumpama itu. Pegawai kerajaan yang hadir hanya dari AS dan Arab Saudi," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Pompeo mengesahkan beliau berada di NEOM sebagai sebahagian daripada program Lawatan ke Asia Barat dan bertemu dengan Putera Mohammed, yang dikenali menerusi nama singkatan MBS.

Jabatan Negara AS turut enggan mengesahkan pertemuan tiga hala itu. Netanyahu ketika ditanya mengenai lawatan ke Arab Saudi pada mesyuarat parti Likud pimpinannya juga enggan mengulas. - AFP

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.