Bangkitlah dari tidur wahai PN
Walaupun tujuan asas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sebagai simpanan untuk perbelanjaan selepas persaraan, namun desakan rakyat negara ini agar kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Akaun 1 secara one-off sehingga RM10,000 adalah bukti kehidupan rakyat yang semakin tersepit.
Justeru, titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang menekankan pemulihan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat diutamakan dalam Belanjawan 2021 adalah tepat dan wajar.
Pandemik Covid-19 bukanlah faktor tunggal yang menyebabkan kemelesetan ekonomi hari ini. Ia juga disumbangkan oleh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mencari polisi yang tuntas bagi merangsang ekonomi rakyat serta menyelesaikan masalah rantaian nilai dan juga ketidakstabilan politik yang menghakis keyakinan pelabur asing.
Jika pencapaian mereka benar-benar positif, mengapa pelabur asing lari daripada pasaran saham Malaysia dengan begitu drastik?
Setakat akhir Okt ini saja, aliran keluar bersih dana asing tahun ini menurut MIDF melonjak kepada RM23 bilion berbanding RM11.41 bilion pada 2019.
Rakyat - khususnya golongan B40 dan perusahaan kecil sederhana (PKS) - masih berada dalam kesulitan kewangan namun ini gagal ditangani dengan berkesan oleh kerajaan PN.
Program Subsidi Upah (PSU) seharusnya diteruskan bagi membantu sektor PKS untuk terus bertahan. Di samping itu, moratorium pinjaman bank yang tidak dilanjutkan secara automatik juga boleh menambah derita rakyat hari ini.
Dianggarkan antara 20 peratus hingga 30 peratus PKS bakal gulung tikar jika tiada pakej rangsangan ekonomi baru yang lebih berkesan diperkenalkan kerajaan.
Bukan itu sahaja, akta untuk menangani kesan Covid-19 juga mengambil masa yang sangat lama untuk untuk dibentangkan di parlimen sebelum ia kemudian diluluskan di Dewan Rakyat hanya pada 25 Ogos lalu.
Akta yang serupa telah diluluskan di negara-negara lain jauh lebih awal. Di Singapura misalnya, akta berkenaan diluluskan seawal 7 April lagi.
Kelewatan ini menunjukkan lemahnya tatakelola kerajaan PN kerana masa banyak ditumpukan kepada urusan politik berbanding hal lain yang lebih mendesak. Semuanya akibat kerapuhan kerajaan yang ada sekarang.
Sektor pekerjaan Malaysia masih terus lembab dan saban hari kita disajikan dengan berita pemberhentian kerja termasuk di syarikat-syarikat besar yang mencecah hampir 90,000 orang.
Sektor penerbangan pula terjejas teruk apabila syarikat-syarikat seperti AirAsia, Malaysia Airlines dan Malindo memberhentikan ramai pekerja masing-masing.
Apakah tindakan konstruktif atau jalan keluar kerajaan PN untuk mengurangkan impak ini sebanyak mungkin?
Kepada kerajaan PN , bangkitlah daripada tidur. Kelemahan PN semakin menonjol saban hari dan ini akan memberikan kesan negatif yang besar terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat.
Berhentilah hidup dalam penafian dan bertindak segera!
FAIZ FADZIL ialah Adun Permatang Pasir di Pulau Pinang dan anggota Jawatankuasa Pusat Amanah Nasional.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.