Najib masih Perdana Menteri Malaysia paling teruk - Tun M
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia paling teruk dalam sejarah negara ini.
Memetik laporan MalaysiaNow,
kritikan Dr Mahathir terhadap Najib, yang terlibat dalam skandal 1MDB
masih berterusan hingga menyebabkan beliau bertindak meninggalkan UMNO.
"Mana-mana kerajaan yang dianggotai Najib, akan teruk," katanya seperti dilaporkan MalaysiaNow apabila ditanya mengapa tidak bersama dengan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Apabila diminta mengulas berkenaan Najib, ada beberapa perkara yang menjadi penegasan Dr Mahathir.
"Individu ini (Najib) diketahui sebagai seorang penjenayah. Mencuri wang yang banyak, pengubahan wang haram dan pelbagai lagi.
"Dia
juga didapati bersalah atas tujuh pertuduhan, dijatuhi hukuman penjara
12 tahun," katanya yang mengaitkan pertuduhan ke atas Najib berkenaan
SRC International.
Namun, pada masa sama
Dr Mahathir tidak pernah mengenepikan hormat beliau kepada bapa Najib,
Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
"Tun Razak merupakan Perdana Menteri terbaik yang pernah kita miliki. Saya ingatkan anaknya akan lebih kurang Tun Razak.
"Sebaliknya
dia (Najib) merupakan yang paling teruk. Dia mencuri duit, bukan satu
dua ringgit, berbilion ringgit. Seluruh dunia mengkritik negara ini,
daripada menjadi Harimau Asia, kita jatuh kepada negara kleptokrasi,
negara yang dipimpin oleh seorang pencuri.
"Semua ini berlaku ketika Najib menjadi Perdana Menteri," katanya.
Beliau
kekal dengan pendirian menolak sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin
yang beliau percaya telah memberi nafas baharu kepada Najib.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.