Anwar mohon maaf PH gagal tunai manifesto PRU14
PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia di atas kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan sebahagian besar manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tempoh hari.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen
Port Dickson itu tidak bersetuju dengan pandangan ‘manifesto bukan kitab
suci’ sebagai mana diutarakan bekas Perdana Menteri kerajaan PH, Tun Dr
Mahathir Mohamad yang dianggapnya menyebabkan keadaan bertambah parah.
Jelas
beliau, kenyataan itu mewakili ‘order’ lama dalam PH dan beliau tidak
mahu mempertahankannya kerana ia bukan datang daripada kepemimpinan PKR.
“Sebahagian
manifesto sudah dilaksanakan, tetapi sebahagian besar masih belum
dilaksanakan. Tetapi yang parah bukan proses pelaksanaan, tetapi
kenyataan bahawa ‘manifesto itu bukan kitab suci’.
“Walaupun
manifesto itu dilengkapkan semasa saya berada di dalam penjara, tetapi
beberapa prinsip utama yang kita sudah janji, maka kita harus ikhtiar
untuk melaksanakannya.
"Tidak boleh kata manifesto bukan kitab suci, maka tidak boleh kita laksanakannya, tidak praktikal.
“Bagaimanapun, PKR mohon maaf kepada rakyat kerana kita terlibat dalam kerajaan PH.
"Tetapi beberapa kenyataan itu tidak membantu,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Petaling Jaya baru-baru ini.
Pada
16 Julai 2018, Dr Mahathir yang ketika itu merupakan Perdana Menteri
kerajaan PH mengingatkan bahawa manifesto koalisi itu bukan ‘kitab suci’
yang wajib dipatuhi dalam pelantikan speaker Dewan Rakyat.
Dr
Mahathir berkata demikian sebagai mengakui tidak dapat melantik speaker
daripada kalangan ahli Parlimen seperti yang dinyatakan dalam
manifesto.
“(Ya), tapi atas sebab
tertentu, kita tidak dapat patuhi manifesto. Kita perlu ingat, manifesto
bukan kitab suci, ia hanya panduan.
“Kadang-kadang
kita boleh laksanakan sesuatu perkara, kadang-kadang tidak boleh, jadi
kita perlu berfikiran praktikal,” kata Dr Mahathir di lobi Parlimen.
Kenyataan
Dr Mahathir ternyata menimbulkan kemarahan rakyat, lebih-lebih lagi
golongan pengundi muda yang mendambakan pinjaman Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tol dimansuhkan selepas kerajaan
PH memerintah.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.