https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mat Hasan ingatkan MP Umno: Diberi kuku hendak mencengkam


Seorang lagi pimpinan tertinggi Umno mengingatkan anggota parlimen parti itu supaya menyatakan pendirian susulan kemelut berkaitan ordinan darurat yang melibatkan istana dan kerajaan.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata semua ahli parlimen Umno mesti menjarakkan diri dari terheret ke dalam “krisis antara kerajaan dengan istana”.

“Mereka tidak boleh berada dalam kedudukan dan pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai menyanggah teguran istana kerana ia adalah institusi yang Umno telah berikrar akan taat dan pertahankan.

“Justeru, saya menyeru kebijaksaan dan hikmah semua ahli parlimen Umno untuk melakukan perkara yang benar dan selari dengan pendirian parti,” katanya.

Presiden Umno Zahid Hamidi semalam berkata ahli parlimen Umno mesti melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai untuk menarik sokongan ke atas Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Dalam kenyataan hari ini, Mohamad berkata tiada apa jua alasan dapat digunakan untuk mempertahankan kerajaan menurutnya “dilihat nyata ingkar, culas dan gagal melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Kesetiaan kepada kerajaan PN, tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada raja, negara dan parti,” katanya.

“Pilihan wakil rakyat Umno adalah jelas kecuali mereka memilih sebaliknya, pada saat negara dan rakyat telah hilang segala keyakinan kepada kerajaan PN.”

Pemimpin nombor dua Umno itu juga berpesan supaya bermuhasabah dan sentiasa “sedar dan arif tentang asal-usul kita”.

“Jangan hingga jadi seperti kata pepatah, diberi berkuku, hendak mencengkam,” katanya.

Istana semalam menyatakan Yang di-Pertuan Agong amat dukacita susulan makluman kerajaan kepada parlimen bahawa ordinan darurat dibatalkan pada 21 Julai, sedangkan ia tidak mendapat perkenan seri paduka.

Istana berkata tindakan mengelirukan Dewan Rakyat serta bercanggah dengan apa yang dipersetujui ketika majlis menghadap menteri undang-undang Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Idrus Harun pada 24 Julai - supaya ia dirungkai di parlimen.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagaimanapun mempertahankan tindakan mereka atas alasan pembatalan ordinan darurat dibuat secara teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta perlembagaan negara.

PMO antaranya berhujah, mengikut Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.