https://critoxium.com/shop/

Terkini

Berjanji dengan penyamun


Antara kebijaksanaan orang Inggeris ialah mencipta istilah dan sistem untuk dipraktikkan di bekas tanah jajahannya. Ia termasuklah di tanah air kita. Lebih malang, istilah dan sistem itu digunakan mengikut manual berdasarkan fikiran mereka sendiri, bukannya tafsiran tempatan kita.

Bahasa adalah jiwa bangsa. Bahasa juga merupakan tafsiran makna. Apabila kuasa tafsiran dicabut dari jiwa dan tubuh bangsa, bahasa itu hanya tinggal aksara-aksara yang kaku. Untuk jadi bahasa di papan tanda pun tiada nilai.

Apabila Prof Emeritus Khoo Kay Kim pada 2011 menyebut bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah, bergegar satu Malaya. Berpuluh tahun merdeka disambut, tiba-tiba disebutkan bahawa tanah air ini tidak merdeka. Sudah tentu ia sukar untuk diterima.

Pandangan tersebut disokong oleh Prof Zainal Kling, seorang sarjana terkenal tanah air.

Sebagai sarjana, kenyataan mendiang Khoo itu tentulah berdasarkan hujah akademik. Dia bercakap soal kemerdekaan dari segi pemerintahan, kedudukan raja-raja Melayu dan perundangan.

Dia hanya membincangkan isu berkenaan dari sudut pendefinisian merdeka dalam konteks tersebut.

Menurut pakar sejarah tanah air itu, Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura saja yang dijajah dan disebut sebagai koloni atau lebih dikenali sebagai settlement.

Mula-mula terlepas Melaka

Selain itu, Inggeris mendakwa mereka tidak menakluk tetapi melindungi negeri-negeri tersebut. Inggeris menggunakan istilah ‘protectorates’ atau penaung. Sedap dan sangat diplomatik bunyinya.

Abaikan sahaja jika tidak setuju. Ini negara demokrasi, bukan negara kuku besi. Menjungkar balik kefahaman sedia ada dibenarkan. Ini zaman untuk yang kalah memerintah dan yang menang mengalah.

Sesekali berfikiran songsang lebih menyenangkan dan aman daripada berlaku lurus bendul.

Artikel ini adalah ulangan mata pelajaran sejarah peringkat sekolah menengah. Membaca sejarah tanah air bukanlah sebagai persiapan peperiksaan atau ujian semata-mata tetapi bagi membangkitkan kesedaran baru bernegara.

Tambahan pula dalam era kepimpinan kerajaan Melayu-Islam ini, tanpa ke sekolah setahun pun, keputusan cemerlang boleh dicapai dengan mudah.

Kota terawal yang terlepas daripada ketuanan Melayu ialah Melaka. Kota Melaka tumbang ke tangan Portugis pada 1511. Sultan Melaka dan keturunan baginda yang dalam buangan berusaha merampasnya kembali dengan kerjasama Acheh, Johor dan akhirnya Belanda.

Pada 1641, perikatan Johor dan Belanda berjaya menyingkirkan kuasa Portugis, tetapi selepas itu Belanda pula yang mengambil alih Melaka. Para pembesar dan kerajaan Melayu lain hanya tumpang bersorak kerana bagi mereka, apa yang penting ialah Portugis kalah.

Kemudian selama 183 tahun berikutnya Belanda berkota di Melaka dengan aman damai.

Itulah sifir politik Melayu dari dulu sampai sekarang. Politik balas dendam. Seperti sesetengah pandangan pada hari ini: asal bukan Anwar atau Mahathir memerintah. Dan kini, Umno kembali berkuasa dan terus mengangkang di atas takhta.

Manakala Inggeris mengambil alih kuasa di Melaka tanpa melalui peperangan sebaliknya diuruskan di meja perundingan. Sambil minum-minum, mereka kenyang menjarah khazanah orang. Itulah bijaknya politik Inggeris yang menjimatkan harta, tenaga dan selamatkan nyawa sendiri.

Inggeris memang tidak punya ramai askar biasa daripada kalangan mereka. Inggeris hanya membawa jeneral atau professional untuk mengetuai pasukan askarnya.

Mereka mempertaruhkan askar upahan yang dianggap sebagai murah otak dan jiwa. Itulah yang sebahagian dibawa dari tanah jajahan lain seperti dari India, Nepal selain orang tempatan sendiri.

Laut, selat bukan pemisah

Kemudian tanah yang kedua terlucut dari tangan penguasa Melayu ialah Pulau Pinang pada 1786 apabila Francis Light memperdaya Sultan Abdullah Mukarram Shah.

Sultan Kedah itu menyerahkan sebuah pulau di selatan negeri sebagai perjanjian untuk membantu menghadapi serangan Siam. Nyata berjanji dengan lanun atau penyamun memang kerja yang sia-sia.

Apabila sultan cuba mengambil alih wilayah itu, lanun dan penyamun terbabit menyerang lalu menawan Seberang Prai pula. Akhirnya Sultan Abdullah menerima ketentuan takdir.

Begitulah dasar lanun dan penyamun dari dulu hingga sekarang tidak berubah.

Mengenai Singapura yang terlepas ke tangan Inggeris pula adalah gara-gara politik separuh matang di antara para pembesar Melayu Johor berhadapan dengan politik Inggeris yang licik.

Pembesar Melayu Johor terpecah beberapa kelompok (jika zaman moden, ia disebut terbahagi kepada beberapa parti).

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 memecahkan alam Melayu kepada dua bahagian untuk diratah oleh kuasa besar dunia pada masa itu. Selat Melaka menjadi garis pemisahnya.

Akibat langsung daripada perjanjian itu, Kesultanan Johor-Riau terpecah dua.

Satu bahagian di Semenanjung Tanah Melayu, manakala satu lagi di Kepulauan Riau dan Lingga. Dalam epistemologi Melayu, laut, selat dan sungai adalah penghubung kepada bangsa pelaut, pedagang dan pengembara. Ia bukan sempadan atau pemisah.

Namun Inggeris mengubah cara berfikir para pembesar Melayu. Inggeris mengajar Melayu bahawa kekuasaan kepimpinan adalah atas nama jabatan dan gelaran. Lalu, dicipta dan anugerahlah sebanyak-banyak jabatan dan gelaran yang terdaya.

Ikut manual disediakan Inggeris

Doktrin itu melekat kuat dalam pemikiran Melayu elit lagi bangsawan. Rakyat bawahan Melayu pula terdidik untuk patuh setia terhadap tatasusila kononnya atas nama budaya dan agama.

Semua itu adalah pakej budaya sebuah masyarakat terjajah. Rakyat bawahan dikerah ke sana ke sini untuk mempertahankan takhta dan tembolok pembesar mereka sahaja.

Berbalik dengan sejarah kerajaan Johor-Riau. Melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Sultan Hussein dan Temenggong Abdul Rahman menyerahkan Singapura kepada Inggeris buat selama-lamanya.

Sebagai balasan, Sultan Hussein ditabalkan sebagai Sultan Singapura yang pertama manakala Temenggong Abdul Rahman diberikan kuasa memerintah Johor.

Akhirnya antara mereka bertelingkah sesama sendiri sehinggalah Sultan Hussein tersingkir dan tinggal di Melaka tanpa takhta. Sultan Lingga pula berkuasa di Kepulauan Lingga dan Riau yang dibawah pengaruh Belanda.

Sejak itu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura dikuasai Inggeris sepenuhnya. Di negeri-negeri lain, raja-raja kekal bertakhta di istana masing-masing dan menjalankan pemerintahan mengikut manual yang disediakan oleh Inggeris.

Inggeris kemudian memperkenalkan istilah naungan dan dilindungi dalam sistem pentadbirannya di Tanah Melayu.

Sultan Abdullah yang dilucutkan jawatannya sebagai sultan Perak dan dibuang di Kepulauan Seychelles tetap mengekalkan cara hidup sebagai seorang raja yang hidup atas tanggungan kerajaan.

Begitulah kaedah Inggeris memelihara dan memastikan perjalanan kuasa mereka dapat mengawal ekonomi dan politik negeri yang 'dilindungi' itu.

Atas premis tersebutlah, Khoo berpendapat Tanah Melayu ini tidak pernah dijajah. Bahkan tanah air ini dinaungi dan dilindungi oleh Inggeris. Soal siapa yang dinaungi dan siapa yang dilindungi oleh Inggeris, hanya jauhari yang mengenal manikam.


MUHAIMIN SULAM ialah pengarang buku Menang dan Terbuang - Demokrasi, Deep State dan Darurat yang akan berada dalam pasaran pada Oktober 2021.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.