https://critoxium.com/shop/

Terkini

Undi percaya hampiri semangat perlembagaan - Aziz Bari


Keperluan mengadakan undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat adalah penting kerana ia hampir kepada semangat perlembagaan, kata Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari.

Menurut bekas pensyarah undang-undang itu, ia adalah amalan atau tradisi yang harus diteruskan.

"Meskipun amalan tersebut tidak disebut oleh perlembagaan ia tidak dilarang oleh mana-mana peruntukan perlembagaan. Dan yang lebih penting ia lebih hampir kepada semangat perlembagaan.

"Apatah lagi dalam keadaan majoriti yang tipis dan dipersoalkan. Dengan itu titah Yang di-Pertuan Agong supaya usul percaya kepada perdana menteri perlu diteruskan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob 

Kenyataan itu mengulas situasi politik negara selepas Ismail Sabri dilantik menjadi perdana menteri kesembilan. Sebelum ini dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong supaya diadakan undi percaya di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Abdul Aziz yang juga pakar perlembagaan berkata, agak jelas setakat ini semua pihak sepakat bahawa usul percaya perlu bagi mengesahkan pelantikan di pertengahan penggal.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan pelantikan kerajaan Yang Di-Pertuan Agong dan raja-raja selepas pilihan raya umum.

"Amalan di Malaysia juga agak konsisten. Bermula dengan Hussein Onn pada 1976, diikuti oleh Abdullah Ahmad Badawi pada 2003 dan Saarani Mohamad (menteri besar Perak) di Perak pada 2020. Semua perlantikan ini kemudiannya diikuti oleh usul percaya di dalam dewan.

"Perlu disebut bahawa pada 1976 dan 2003 parti yang memerintah mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

"Peralihan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak pada 1970 dan Hussein Onn kepada Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1981 tidak diikuti oleh usul percaya. Bagaimanapun kedua-dua ini adalah kes minoriti," jelasnya.

Tambah anggota dewan undangan negeri (Adun) Tebing Tinggi itu, apabila Umno diharamkan oleh mahkamah pada 1987 Dr Mahathir sebagai perdana menteri membuktikan majoritinya di luar parlimen.

"Selain itu amalan yang lebih terkini pada 2003 dan 2020 memihak kepada usul sedemikian," kata Abdul Aziz.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.