https://critoxium.com/shop/

Terkini

Anwar perjelas mengapa Pakatan setuju tawaran Ismail Sabri, tolak tawaran Muhyiddin

 


TAWARAN perjanjian persefahaman yang dikemukakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kepada Pakatan Harapan (PH) lebih telus kerana melibatkan rundingan antara pimpinan kedua-dua pihak, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen (PKR-Port Dickson) itu berkata, keadaan berbeza ketika tawaran dikemukakan Muhyiddin Yassin, perdana menteri sebelum itu, yang tidak melibatkan rundingan antara mereka.

Selain itu, tawaran Muhyiddin itu juga kata Anwar dibuat untuk mengabsahkan kerajaan sedangkan waktu itu adalah saat akhir sebelum tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Yang berbeza dikemuka Pagoh (Muhyiddin), bentuk CSA menuntut kami sokong dan absahkan kerajaan.

“(Tetapi) di sini menegaskan peranan kami sebagai pembangkang untuk tolak kalau tiada rundingan,” kata Anwar.

Anwar berkata, perkara itu turut dimaklumkannya kepada Muhyiddin.

“Kes lalu saya beritahu Pagoh sebelum menghadap, pertama tiada rundingan dengan pimpinan PH, diumumkan masa (kerajaan) tenat dan nak tenggelam, dah hilang majoriti jelas baru diutarakan.

“Bera (Ismail Sabri) berbeza, beliau menang, dapat majoriti sangat kecil, tapi sekurang kurangnya hari kedua atau ketiga (dilantik menjadi perdana menteri) dia panggil (pembangkang),” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Presiden PKR itu berkata, beliau tidak menolak sekiranya terdapat panggilan untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan.

“Saya kalau dijemput kita pergi…baik, baik kita tak mungkin baik macan Nabi Musa. Orang yang kita kecam pun buruk, buruk takkan seburuk Firaun,” tambahnya. 

Anwar berkata demikian menjawab soalan diajukan ahli Parlimen (PAS-Pasir Mas) Ahmad Fadhli Shaari yang bertanya alasan tawaran Muhyiddin ditolak PH.

Sedangkan katanya, tiada perbezaan ketara jika dibandingkan tawaran yang dikemukakan Muhyiddin dan Ismail Sabri.

Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan, prinsip PH kekal dan tidak berubah berkaitan penyelewengan dan salah guna kuasa walaupun sudah menandatangani perjanjian persefahaman dengan kerajaan.

Dakwaan mengatakan PH tunduk dengan desakan kerajaan demi kesejahteraan juga katanya sebagai tidak berasas.

“Mereka tak baca lagi memorandum itu. Kita jelaskan hal yang kita tak setuju, salah guna kuasa, penyelewengan akan dibangkitkan, dalam dokumen ini kita tegaskan dalam tajuk peranan pembangkang.

“Kerjasama ini pendekatan baru, saya akui sikap positif Bera, kalau tak tentu ada kesukaran. Keduanya ada nasihat Raja-raja Melayu tentang pentadbiran yang stabil, untuk apa, perintah dengan baik,” kata Anwar.

Pihaknya juga menegaskan perjanjian itu bukan alasan untuk Belanjawan 2022 diluluskan sewenang-wenangnya oleh kerajaan.

Sebaliknya, segala perkara pokok yang terkandung didalamnya harus dipersetujui melalui perbincangan dengan pembangkang sebelum segala persetujuan untuk menyokong dicapai.

“Belanjawan 2022, ada kata kita wajib sokong. Tak benar. Kita boleh sokong atau berkecuali bagi belanjawan 2022 selepas proses perundangan rang undang-undang dirundingi dan dipersetujui.

“Menteri dan pembangkang kena ambil sikap terbuka duduk berunding, kalau nak ada kerjasama, sokong, berkecuali kena ada runding tapi kita bersetuju perkara asas,” katanya.

Perkara sama juga kata Anwar perlu dilakukan bagi meluluskan mana-mana rang undang-undang yang bersifat penting yang boleh memberikan kesan kepercayaan kepada kerajaan.

“Begitu juga usul kerajaan atau rang undang-undang yang kegagalan meluluskan merupakan satu bentuk tidak keyakinan kepada kerajaan kita nak elak. 

“Syaratnya proses dirundingi secara bersama secara dasarnya, kerjasama harus, diteruskan mesyuarat harus dilakukan secara berkala dan berterusan,” kata Anwar.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.